Johor adakan solat sunat mohon hujan di Empangan Sembrong
KLUANG - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama pentadbiran daerah Kluang mengadakan majlis solat sunat Istisqa di Empangan Sembrong, dekat sini pada Selasa.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, solat itu bertujuan memohon hujan, terutama di kawasan sekitar empangan.
"Usaha kita memohon kepada ALLAH SWT bagi turunnya hujan khususnya di Empangan Sembrong.
"Beberapa kawasan di Kluang terjejas sejak awal Aidilfitri akibat rendahnya paras air di sini. Alhamdulillah keadaan semakin baik, namun usaha perlu diteruskan.
"Kita laksanakan solat sunat Istisqa pagi ini di sini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri melalui JAINJ akan menyelaras solat sunat Istisqa dan khutbah di setiap daerah agar kemarau yang sedang melanda kini segera berakhir.
"Susulan pelaksanaan solat sunat Istisqa di Empangan Sembrong pada Selasa, kerajaan negeri memandang serius isu kemarau yang berlaku di beberapa tempat.
"Berdasarkan kiraan indeks SPI Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laporan pemantauan kemarau Mac lalu, merekodkan bacaan indeks SPI di Stesen Meteorologi Kluang pada skala sederhana kering dan sangat kering,"ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!