Ajinomoto, MAREA kerjasama untuk kelestarian alam

Roberto (kanan) mendengar taklimat mengenai produk keluaran Ajinomoto pada Selasa.
Roberto (kanan) mendengar taklimat mengenai produk keluaran Ajinomoto pada Selasa.
A
A
A

AJINOMOTO (Malaysia) Berhad (AMB) menjalin kerjasama dengan Malaysian Recycling Alliance (MAREA) bagi memperkasakan usaha ke arah memupuk amalan kelestarian alam sekitar di negara ini.

Pengarah Urusan AMB, Riichiro Osawa berkata, kerjasama itu membuktikan komitmen pihaknya terhadap pengurusan bahan pembungkusan kesemua produknya.

"Kami yakin kerjasama dengan MAREA akan mempercepatkan kemajuan kami ke arah mencapai matlamat FY 2030 iaitu sifar pelupusan sisa plastik.

"Dengan menggabungkan kekuatan dan sumber, kami boleh memacu perubahan yang bermakna, seterusnya menyumbang kepada masa depan lebih mampan untuk Malaysia dan seterusnya," katanya semasa Majlis Pelancaran Strategik antara AMB dan MAREA di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAREA, Roberto Benetello.

Riichiro berkata, di bawah Pelan Hala Tuju FY2030, Ajinomoto Malaysia komited untuk menjadikan 100 peratus bahan pembungkusannya boleh dikitar semula.

Justeru, jelas beliau, pihaknya mengiktiraf kepentingan proses pemulihan sebagai sebahagian Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) dan komited untuk bekerjasama rapat dengan MAREA dalam bidang tersebut.

Riichiro (kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada Roberto.
Riichiro (kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada Roberto.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga sejajar dengan hala tuju ditetapkan Ajinomoto iaitu mencapai sifar sisa plastik menjelang 2030.

"Dalam perjalanan kami ke arah inisiatif sisa plastik sifar, Ajinomoto Malaysia telah mula beralih kepada pembungkusan makanan mampan mesra alam dan mudah dikitar semula," katanya.

Mengakui berdepan cabaran dalam mengekalkan kualiti produk dan jangka hayatnya, Riichiro berkata, pasukan teknikalnya telah berusaha sehabis baik.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyasarkan untuk menukar pembungkusan kesemua produk makanannya kepada boleh dikitar semula menjelang 2026.

" Ia adalah satu langkah penting ke arah kejayaan pengumpulan dan kitar semula pembungkusan.

"Oleh sebab itu kami berbangga bekerjasama dengan MAREA bagi memajukan inisiatif mampan kami dan menyumbang kepada faedah alam sekitar yang berkekalan untuk masyarakat kita," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!