Imbang badan, pernafasan rahsia nelayan selamat

Muhamad Nursyarif sedang mendapatkan rawatan di HRPZII di Kota Bharu.
Muhamad Nursyarif sedang mendapatkan rawatan di HRPZII di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Teknik imbangan badan dan pernafasan menjadi 'penyambung nyawa' buat seorang pengawal keselamatan yang lebih 17 jam terapung di laut selepas terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, di sini pada Ahad lalu.

Muhamad Nursyarif Mat Nasir berkata, sepanjang tempoh itu mulutnya tidak putus-putus mengucap syahadah selepas memikirkan malaikat maut akan menjemputnya pulang ke negeri abadi pada bila-bila masa sahaja.

"Saya cuba berenang ke daratan namun gagal selepas diserang obor-obor sepanjang proses menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Keadaan badan Muhamad Nursyarif yang dipenuhi sengatan obor-obor.
Keadaan badan Muhamad Nursyarif yang dipenuhi sengatan obor-obor.

Menurutnya, disebabkan tubuhnya sudah tidak kuat untuk mengekang sengatan obor-obor Muhamad Nursyarif membuat keputusan berenang semula ke laut.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, untuk menahan serangan obor-obor dia sempat melaungkan azan dengan sepenuh hati sebagai usaha melawan serangan hidupan laut itu.

Katanya, usaha itu membuahkan hasil apabila hidupan laut itu tertanggal dari badannya.

Ujarnya, sepanjang berada di tengah-tengah samudera tanpa bantuan alat pernafasan itu, dia hanya mampu bertahan dengan mengapungkan diri menggunakan teknik imbangan badan.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Nursyarif memberitahu, kakinya beberapa kali kejang sehingga terpaksa berenang menggunakan tangan.

Maritim Malaysia Kelantan semasa operasi menyelamatkan Muhamad Nursyarif.
Maritim Malaysia Kelantan semasa operasi menyelamatkan Muhamad Nursyarif.

"Sepanjang tempoh ini, hanya mampu berdoa, berzikir dan berharap ada orang datang menyelamatkan saya.

"Pada malam itu saya nampak bot-bot yang sedang melakukan operasi mencari. Saya melambai-lambaikan tangan namun faktor keadaan gelap menyebabkan mereka tidak nampak saya.

"Sehinggalah jam 11 pagi esoknya saya lihat ada sebuah bot nelayan sedang mengangkat pukat dan terus berenang ke arah mereka untuk meminta tolong," katanya.

Menurut anak nelayan itu, dengan izin ALLAH dia berjaya diselamatkan di perairan Pantai Geting, Tumpat dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Muhamad Nursyarif tidak putus-putus mengucap syahadah ketika terapung di laut.
Muhamad Nursyarif tidak putus-putus mengucap syahadah ketika terapung di laut.

Dia memberitahu, tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam di hospital kerana badannya terasa terbakar ekoran sengatan obor-obor.

"Kejadian jatuh dari bot ini bukannya yang pertama kerana sebelum ini pernah berlaku tetapi biasanya saya ditemani ayah.

"Namun kali ini saya keluar memukat sotong sendirian. Saya sudah ke laut sejak berusia 12 tahun kerana membantu ayah," katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, Kampung Kedai Buloh di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!