Helikopter terhempas: Empat kru TLDM Teluk Sepanggar, Sabah terkorban
KOTA KINABALU - Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar sebak dan menitiskan air mata sebaik menerima khabar duka Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli bersama tiga lagi kru lain terlibat dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa.
Muhammad Firdaus bersama tiga kru helikopter HOM AW139 iaitu Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun difahamkan berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar, namun sedang menjalankan tugasan mereka di Pangkalan TLDM Lumut sempena Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei depan.
Pegawai Perhubungan TLDM Teluk Sepanggar, Leftenan Komander Mohd Fadzhil Salleh berkata, kehilangan kesemua kru terutama Allahyarham Muhammad Firdaus amat dirasai oleh semua warga TLDM Teluk Sepanggar.
"Kami tidak menyangka dan terasa kehilangan kerana Allahyarham seorang yang amat disenangi semua orang.
"Malah perwatakannya yang baik selain ceria menjadikan suasana ketika bersembang lebih meriah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Fadzhil berkata, dia tidak menyangka tugasan bersama dengan Muhammad Firdaus pada 12 April lalu merupakan pertemuan terakhir mereka.
"Saya memang rapat dengan Allahyarham, selain sering berjumpa, kami juga bersenam bersama-sama.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan Allahyarham pada 12 April lalu ketika team TV3 membuat liputan berita di sini.
"Selepas itu, dia bercuti sempena Hari Raya kerana sebelum ini lama dia tidak dapat cuti dan hanya kembali untuk menjalankan tugasan di Lumut," katanya.
caption
1. Gambar kenangan Muhammad Firdaus (kiri) dan Safwan (tiga dari kiri) ketika menjalani tugasan tinjauan udara semasa liputan media sempena sambutan Hari Raya dengan menggunakan helikopter HOM AW139 di perairan Kota Kinabalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!