Dua Pegawai Memerintah Skuadron TLDM antara 10 mangsa nahas

Bangkai pesawat selepas terbabit dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini. Foto Bernama
Bangkai pesawat selepas terbabit dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua Pegawai Memerintah Skuadron Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pada Selasa.

TLDM dalam kenyataan berkata, mereka adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Pegawai Pemerintah Skuadron 502 TLDM, Komander Muhamad Amir Mohamad.

Menurutnya, insiden melibatkan helikopter jenis HOM (M503-3) membabitkan empat kru dan tiga penumpang, manakala Fennec (M502-6) yang membawa tiga kru.

"Bagi helikopter HOM, kru yang terlibat ialah Muhammad Firdaus, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun.

"Tiga penumpang iaitu Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; Laskar Kelas I JJM, Joanna Felicia anak Rohna," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

No Image Caption

Tambah kenyataan itu, bagi helikopter Fennec, mangsa ialah Muhamad Amir selain Leftenan T Sivasutan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Ujar TLDM, pihaknya mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Pengurusan jenazah akan dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut tradisi tentera laut," katanya.

Insiden itu berlaku semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 pada jam 9.32 pagi di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, orang awam dinasihat untuk tidak menularkan video kejadian nahas dua helikopter terbabit bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!