Peristiwa beri kesan mendalam kepada rakyat Malaysia - Zahid
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua helikopter bertembung di Lumut, Perak pagi tadi.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kejadian tersebut.
"Saya ingin menzahirkan perasaan dukacita atas insiden yang berlaku, pastinya peristiwa ini bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga mangsa tetapi juga menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid turut berharap orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga selain boleh mengganggu proses penyiasatan.
Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi itu yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.
Difahamkan nahas itu berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!