Bedah siasat 10 mangsa nahas dua helikopter TLDM selesai esok
IPOH - Prosedur bedah siasat 10 jenazah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban susulan nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa dijangka selesai disempurnakan lewat tengah hari esok.
Timbalan Pengarah Perubatan I, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Liaw Kok Toon memaklumkan pihaknya telah menerima kesemua jenazah bagi prosedur bedah siasat sekitar jam 6 petang tadi di perkarangan Jabatan Forensik HRPB.
"Prosedur bedah siasat telah dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada lewat tengahari esok (Rabu).
"HRPB dengan ini memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar oleh pihak Jabatan Forensik HRPB selain menghormati privasi waris mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan jenazah 10 mangsa tragedi dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini petang Selasa.
Jenazah kesemua mangsa dibawa dengan van jenazah TLDM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dua ambulans tiba pukul 6 petang untuk tujuan bedah siasat setelah menjalani proses pengecaman waris di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Lumut, sejak tengah hari tadi.
Nahas membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) yang berlaku pada 9.32 pagi tadi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!