Wajah 10 mangsa korban nahas helikopter TLDM
KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkongsi gambar 10 mangsa korban kejadian dua buah helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa.
TLDM dalam satu kenyataannya berkata, kesemua mangsa merupakan tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM telah terkorban dalam nahas tersebut.
Katanya, mereka yang terkorban adalah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).
Selain itu menurutnya, mangsa terlibat adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin serta Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi.
"Mangsa seterusnya adalah Kuartermaster Udara Skuadron 503, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.
"Sementara itu, tiga anggota wanita yang maut adalah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna daripada Markas Udara TLDM; Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) serta Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat)," kata kenyataan itu pada Selasa.
Kata kenyataan itu, TLDM meminta orang ramai agar tidak menularkan foto dan video bagi menjaga sensitiviti serta privasi keluarga serta tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!