'Tak sangka itu raptai terakhir abang bersama TLDM'
SEGAMAT - "Setiap tahun abang sertai latihan lintas hormat Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tidak sangka ia raptai terakhir abang Amir," kata Marhamah Mohamad, 36.
Marhamah merupakan adik kepada Komander Muhamad Amir Mohamad yang merupakan antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter TLDM di Lumut, Perak pagi Selasa.
Marhamah yang juga jurutera perisian digital berkata, dia mengetahui berita nahas terbabit selepas dihubungi isteri arwah, Marliyati Basri pada sebelah tengah hari.
"Kakak ipar telefon beritahu abang Amir terbabit kemalangan, saya terkejut apabila diberitahu abang terbabit dalam nahas helikopter. Selepas itu, saya diberitahu abang Amir sudah tiada, ketika itu saya cukup sedih.
"Setiap tahun abang Amir memang akan sertai raptai sempena sambutan ulang tahun TLDM. Abang sudah menyertai TLDM lebih 20 tahun dan menjadi inspirasi kepada saya terlibat dengan TLDM.
"Kini saya merupakan seorang anggota Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di Johor Bahru," katanya ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong pada malam Selasa.
Menyifatkan arwah seorang yang tegas, Marhamah mengakui abangnya itu seorang yang mengambil berat dan membantu menanggung perbelanjaan persekolah adik-adiknya.
"Kali terakhir jumpa abang Amir pada Syawal lalu, abang pulang bersama isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga 16 tahun. Kampung isteri abang juga di Segamat iaitu Felda Redong.
"Sikap arwah ketika Syawal tidak banyak berubah sangat ceria," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!