[VIDEO] Suami isteri jual sate ayam semurah 50 sen secucuk

A
A
A

PONTIAN - Sepasang suami isteri memilih menjual sate ayam pada harga 50 sen secucuk di belakang tapak pasar malam di sini, biarpun berdepan kenaikan kos bahan mentah.

Nordin Mangon, 57, dan Halimatol Saadiah Ibrahim, 57, mengakui gembira dapat jual harga murah kerana mahu berkongsi rezeki di gerai sate B40 yang dibuka sejak Ogos tahun lalu.

Halimatol dan Nordin gembira dapat berkongsi rezeki dengan menjual sate ayam 50 sen secucuk.
Halimatol dan Nordin gembira dapat berkongsi rezeki dengan menjual sate ayam 50 sen secucuk.

Halimatol (kiri) membantu Nordin ( kanan) membakar sate.
Halimatol (kiri) membantu Nordin ( kanan) membakar sate.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nordin, dia mempunyai alasan menjual harga sate 50 sen secucuk kerana mahu berkongsi rezeki.

"Sepasang suami isteri menaiki motosikal singgah di gerai kami pada waktu malam untuk membeli sate untuk enam orang anak selepas dua bulan kami berniaga sate.

"Selepas bertanya harga sate RM1 secucuk, pasangan suami isteri ini membuat perkiraan dan beritahu tidak jadi beli dan cepat-cepat pergi.

"Saya cukup tersentuh dengan apa yang berlaku itu dan menurunkan harga sate ayam daripada RM1 kepada 50 sen secucuk," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sate ayam berharga 50 sen secucuk dijual gerai diusahakan Nordin bersama isterinya.
Sate ayam berharga 50 sen secucuk dijual gerai diusahakan Nordin bersama isterinya.

Nordin menambah, pasangan suami isteri itu kemudiannya datang ke gerainya semula dan terkejut melihat sate ayam dijual pada harga 50 sen secucuk.

Pelanggan membeli sate dijual di gerai sate B40.
Pelanggan membeli sate dijual di gerai sate B40.

"Cukup seronok dapat melihat pasangan suami isteri ini beli sate pada harga murah untuk anak-anak mereka. Saya gembira dapat bantu mereka dan mahu kekalkan harga 50 sen itu.

"Saya percaya jika ikhlas bantu rezeki akan datang. Alhamdulillah tiga orang anak kami juga menyokong usaha yang dilakukan ini," katanya.

Nordin yang merupakan bekas pemandu treler berkata setakat ini, dia mampu menjual antara 400 hingga 600 cucuk sate setiap hari selain turut menerima tempahan daripada pelanggan.

Gerai sate B40 diusahakan Nordin bersama isterinya.
Gerai sate B40 diusahakan Nordin bersama isterinya.

"Pada awal pagi, saya dan isteri akan ke pasar untuk membeli ayam, daging dan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk perap sate.

"Dianggarkan 10 kilogram daging dan ayam akan diproses menjadi sate. Selain itu, kami turut membuat kuah kacang dan merebus nasi impit.

"Gerai dibuka pada jam 6 petang setiap hari kecuali Isnin dan Selasa. Biasanya gerai ditutup jam 12 malam, tetapi adakalanya sate habis awal dan gerai ditutup jam 8.30 malam," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!