Pengusaha hotel, resort di Janda Baik perlu dapat sijil halal

Penyerahan cenderamata kepada wakil hotel dan resort pada kempen promosi halal, kelmarin.
Penyerahan cenderamata kepada wakil hotel dan resort pada kempen promosi halal, kelmarin.
A
A
A

BENTONG - Bilangan premis makanan di hotel dan resort sekitar Janda Baik di sini yang mendapat sijil halal masih rendah berbanding jumlah keseluruhan hotel dan resort yang ada di kawasan tersebut.

Bagi meningkatkan kesedaran pengusaha terhadap keperluan sijil halal, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melalui Bahagian Pengurusan Halal melaksanakan kempen dan promosi halal di beberapa hotel dan resort di sekitar kawasan berkenaan, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, kempen dan promosi itu bertujuan memberi info kepada pengusaha di kawasan tumpuan pelancongan itu berkaitan sijil halal dan kepentingan penyediaan makanan halal.

Menurutnya, ia juga dapat memberi galakan dan menarik minat pihak pengurusan hotel dan resort di situ untuk memohon Sijil Halal Malaysia.

"Sebagai kawasan yang menjadi tumpuan pelancong yang terletak berdekatan dengan Kuala Lumpur, Janda Baik mempunyai banyak hotel dan resort yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung.

"Hotel dan resort di sini juga kebanyakkannya turut mempunyai cafe dan dapur memasak bagi menyediakan hidangan kepada pengunjung.

"Jadi pihak JAIP mengambil langkah proaktif turun padang bertemu pengusaha hotel dan resort bagi memberi pendedahan berkaitan penyediaan makanan halal serta menggalakkan mereka memohon sijil halal," katanya.

Noridzuan berkata, selain sesi penerangan, pihaknya juga turut mengedar risalah berkaitan halal sepanjang kempen tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu pegawai dan kakitangan kami turut mengadakan perbincangan ringkas bersama pihak pengusaha berkaitan persediaan dan prosedur penting yang perlu dipatuhi untuk memohon sijil halal, "katanya.

Menurutnya, inisiatif yang diambil itu diharap meningkatkan kesedaran pengusaha supaya mengambil langkah memohon sijil halal seterusnya memberi pilihan kepada pengguna untuk menikmati makanan yang disahkan halal oleh pihak berkuasa.

"Sepanjang dua hari kempen ini dilaksanakan, pihak JAIP menerima maklum balas yang sangat positif dari pihak pengusaha yang rata-rata menyatakan minat untuk memohon sijil halal.

"Mereka sebenarnya menyedari kepentingan sijil halal sebagai satu daripada elemen yang menjadi nilai tambah kepada prasarana yang sedia ada dan menjadi daya tarikan baharu kepada pengunjung yang bertandang ke Janda Baik," katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga dapat membantu membuka langkah awal kepada pengurusan hotel dan resort di Janda Baik untuk memohon sijil halal.

"Pihak kami sentiasa bersedia membantu dan memudahkan pihak pengusaha untuk memohon sijil halal seterusnya merancakkan lagi perkembangan industri halal di Pahang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!