Mesin pun semakin pandai menipu!

-Foto 123rf
-Foto 123rf
A
A
A

WALAUPUN kehidupan sepatutnya menjadi lebih mudah dengan mesin, saya selalu berasa lebih senang, selesa dan yakin berurusan dengan manusia.

Agaknya saya kuno @ cara lama @ old school, maka saya lebih rela ditipu oleh manusia daripada dipermainkan oleh mesin.

Ada ketikanya saya tidak dapat mengelakkan penggunaan mesin, contoh ATM. Saya tidak sanggup berbaris panjang di kaunter hanya untuk mengeluarkan RM20 atau RM30 dari bank.

Maka, cara yang lebih mudah ialah membuat transaksi menggunakan mesin ATM. Tidak perlu berasak-asak di bank, sebaliknya boleh keluarkan duit bila-bila masa di stesen minyak, di pasar raya, hatta di R&R sepanjang lebuh raya.

Tetapi nama pun mesin, ada ketikanya saya dipermainkan ATM. Contoh, saya berjaya keluarkan sejumlah wang tunai dari mesin ATM.

Ketika wang itu saya hendak masukkan ke akaun lain, alat ATM tidak dapat menerima sebahagian wang kertas. Ada nota di skrin: “Sila ambil wang yang ditolak.”

Wang dari mesin yang sama tidak diterima oleh mesin yang sama. Sakit betul hati. Boleh keluarkan duit tetapi duit yang sama ditolak oleh mesin yang sama.

Sebab itu ada yang membebel di mesin ATM. Malah tidak menghairankan sekiranya ada alat ATM kena tumbuk atau kena tendang.

Artikel Berkaitan:

Kerap juga saya dipermainkan oleh ATM. Tetapi tidak guna menumbuk, menendang hatta marah-marah dan maki hamun, sebab mesin memang tidak ‘tahu bahasa’.

Berkelahi dengan mesin samalah seperti bertengkar dengan tiang lampu atau marah-marah pada pembahagi jalan, tak pasal-pasal orang kata kita gila.

Sama juga dengan mesin ‘vending’ yang sekarang sudah menjadi ciri kehidupan harian termasuk di kawasan luar bandar.

Boleh dikatakan di setiap sudut ada alat vending yang berurusniaga dengan manusia untuk mendapatkan minuman dalam tin, makanan, rokok dan sebagainya.

Saya tidak berapa gemar berurusan dengan mesin seperti ini, sebab kerap kali menyakitkan hati. Contoh, kita tekan minuman yang dikehendaki, yang keluar minuman lain. Dan mesin itu buat ‘dhek’.

Saya tidak tahu pengguna lain, tetapi berdasarkan pengalaman saya telah banyak kali rugi kerana ditipu oleh mesin vending baik di hospital atau di pejabat saya sendiri. Ini antara cara biasa alat vending mempermainkan saya, mudah-mudahan tidak terjadi pada orang lain:

Entah kenapa mesin tidak mahu menerima duit kertas yang kita masukkan ke mulutnya. Duit kertas RM1 ditolak walaupun beberapa kali disuapkan ke mulutnya.

Padahal telah tertulis di situ “Mesin ini menerima duit syiling dan wang kertas RM1, RM5 dan RM10 sahaja.” Tetapi RM1 ditolak.

Ada orang kata mesin tidak boleh menerima duit kertas baru, maka kena renyuk-renyukkan dulu duit kertas. Mesin pun banyak ‘songeh’.

Ada yang lebih teruk lagi tipu-dayanya. Harga minuman RM1.50, saya masukkan wang kertas RM2, tekan minuman pilihan. Minuman keluar, tetapi wang baki 50 sen tidak dikembalikan. Ada mesin suka makan duit baki.

Ada pengguna memberitahu saya dia memasukkan duit kertas RM5, untuk membeli minuman RM2.50, dapat minuman tetapi baki RM2.50 kena telan.

Tetapi yang paling teruk lagi menyakitkan hati ialah mesin menerima duit tetapi minuman yang ditekan tidak keluar, dan wang tidak dapat semula. Lebih banyak mesin mengelat seperti ini.

Saya dapati beberapa alat vending di hospital kemik dan rosak kena tendang, ada yang cerminnya pecah. Saya bercakap mengenai vending di hospital biasa, bukan hospital mental.

Ertinya di hospital biasa pun ramai mengalami gangguan mental, gara-gara mesin yang semakin kerap menipu dan makan duit.

Maka mana-mana syarikat yang mengendalikan mesin seperti itu selalulah datang membuat pemeriksaan supaya pengguna tidak terus terdera perasaan.

Perhatian: Hati-hati ketika hendak membuat pemeriksaan. Manalah tahu kot-kot ada mangsa ditipu mesin menunggu di situ. Dia telah puas menendang mesin, sekarang tiba masanya dia menendang orang yang datang memeriksa mesin.

Almaklumlah dalam keadaan stres manusia pun boleh menjadi seperti mesin, hilang pertimbangan dan akan menyerang siapa sahaja!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!