[VIDEO] Adira, Datuk Red bercerai talak satu
[DIKEMAS KINI] RUMAH tangga penyanyi terkenal, Adira Suhaimi berakhir selepas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Rawang, pada Rabu.
Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar merekodkan perpisahan pasangan ini selepas Adnan yang lebih dikenali sebagai Datuk Red, 42, melafazkan talak pada jam 9.39 pagi, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Mahkamah kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian di Rawang.
Peguam syarie, Nor Saidah Zakaria yang mewakili penyanyi yang berasal dari Ranau, Sabah itu berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai dengan syarat anak guamnya tidak menuntut nafkah tertunggak, edah dan mutaah daripada Adnan.
"Bagaimanapun, mengenai nafkah anak-anak, Adira dan Adnan akan berbincang berhubung isu ini, kemudian.
"Bagi isu hak jagaan anak-anak pula, semua pihak mempunyai persetujuan bersama dan ia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, kelak," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan bagi pihak Adnan berkata, anak guamnya bersetuju untuk mengambil langkah menyelesaikan isu tersebut secara baik dengan terma perjanjian yang dicapai.
"Anak guam akur untuk berpisah selepas dia dan Adira berbincang, ditambah pula hubungan mereka baik.
"Pada saya, jika berdepan dengan masalah rumah tangga, mana-mana pihak akan mempunyai perasaan yang sama kerana terpaksa melepaskan orang yang disayangi," katanya ketika diminta mengulas mengenai perasaan Adnan ketika melafazkan talak terhadap Adira.
Dalam prosiding lalu, Sinar Harian melaporkan, laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) Adira dengan Adnan menemui jalan buntu apabila pasangan tersebut tetap dengan pendirian masing-masing.
Adnan dimaklumkan tidak akan menceraikan isteri keduanya itu, namun berbeza dengan Adira yang kekal dengan keputusan untuk berpisah.
Susulan itu, mahkamah menetapkan Rabu untuk lantikan hakam namun berdasarkan perkembangan baharu, mereka bersetuju untuk berpisah sebelum prosiding seterusnya dibuat.Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan penceraian kerana mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinannya.
Bagaimanapun, Adnan tidak bersetuju dengan permohonan dibuat isteri keduanya itu dan ingin menyelamatkan rumah tangga mereka.
Untuk rekod, Adira memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah ini pada 1 April 2019 namun menarik semula permohonan itu bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.
Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun manakala perkahwinan Adnan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim, mereka dikurniakan lima cahaya mata.
Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!