Nak mencurah minyak atau air?

A
A
A

SABDA Rasulullah SAW: “Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘Ajam (yang bukan Arab), atau ‘Ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)

Begitulah didikan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW kepada kita. Keharmonian, kedamaian, kesatuan dan yang sewaktu dengannya adalah ajaran Islam. Islam tidak suka kepada peperangan, pergaduhan, perpecahan dan permusuhan.

Sejarah membuktikan kepada kita bagaimana Rasulullah SAW membawa rahmat bukan sahaja kepada masyarakat Arab di Madinah, malah seantero dunia.

Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, kaum Aus dan Khazraj sudah puluhan tahun bermusuhan. Persengketaan sering berlaku antara mereka.

Rasulullah SAW yang bijak dalam mentadbir masyarakat melihat akan pentingnya mempersaudarakan kedua-dua kaum ini. Untuk membina sebuah negara yang kuat, ikatan yang kukuh antara kaum sangatlah penting.

Ungkapan Rasulullah SAW dalam hadis di atas adalah 'wahai manusia' dan bukannya ditujukan khas kepada kelompok atau bangsa atau kaum tertentu seperti 'wahai bangsa Arab' dan sebagainya. Tidak sama sekali. Ia merupakan seruan kepada semua manusia.

Tidak kira apa bangsa, kaum, agama, pangkat, warna kulit dan sebagainya. Semua mereka diseru oleh Rasulullah SAW supaya mengetahui bahawa mereka semuanya daripada keturunan yang sama.

Kenapa Rasulullah SAW menyebut semua itu kepada umat manusia? Kerana Rasulullah SAW sudah memahami bahawa manusia memang suka bergaduh dan bersengketa.

Artikel Berkaitan:

Mereka suka menguasai dan memerintah dan membuat aniaya kepada orang lain yang bukan daripada kelompoknya atau bangsanya atau kaumnya atau yang seagama dengannya.

Tidakkah semua itu kita lihat pada hari ini? Di sana-sini wujud persengketaan. Baik sesama Muslim atau antara Muslim dan bukan Muslim. Satu pertanyaan yang saya mahu kita semua berfikir dan renung sebaik-baiknya. Mahukah kita hidup dalam suasana yang tidak harmoni? Mahukah kita hidup dalam situasi tidak aman? Mahukah kita hidup dalam ketakutan?

Berapa lama sudah kita hidup dalam kedamaian? Tiada pergaduhan kaum sebagaimana peristiwa 13 Mei 1969.

Mahukah kita peristiwa lama berulang kembali? Mahukah kita terpaksa berkurung dan tiada kebebasan untuk ke sana sini? Mahukah kita melihat mayat bergelimpangan di sana sini? Bahagiakah kita di saat itu? Tentu sekali tidak.

Api perkauman Islam tidak pernah mengajar kita untuk mencurah minyak ke dalam percikan api perkauman.

Sebagai orang Islam yang mendokong agama yang membawa rahmah ke seluruh alam, sewajarnya sama-sama mencurahkan air ke atas percikan api perkauman.

Jika kita orang Islam tidak mendokong ajaran Rasulullah SAW, jika kita tidak meneruskan tauladan yang ditinggalkan oleh Baginda, jadi di manakah letaknya Islam dalam diri kita?

Adakah kita memperjuangkan dan mempertahankan Islam dengan tindakan kita mencurahkan minyak ke dalam percikan api perkauman? Bukankah tindakan kita itu boleh dianggap sebagai menghina agama Islam?

Kenapa kita tidak nampak kesilapan yang telah kita lakukan? Kenapa dari hari ke hari kita menanam kebencian demi kebencian dengan cara menularkan pelbagai bentuk kata-kata dan tindakan yang berbaur perkauman?

Oleh itu, wahai rakyat Malaysia, marilah sama-sama kita mengekalkan keharmonian, kesatuan dan sikap saling hormat-menghormati sesama kita.

Sayangilah negara kita agar tidak diceroboh oleh pihak lain dek kerana persengketaan kaum. Jangan kita diibaratkan seperti kalah jadi abu menang jadi arang.

Akhir kalam, jadilah warganegara Malaysia yang bijak, yang menggunakan akal untuk berfikir secara waras dalam mendepani cabaran perpaduan kaum di zaman penuh fitnah ini.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!