[VIDEO] 'Saya perlukan telefon untuk panggil peguam' - Hafizul

A
A
A

KOTA BHARU - "Saya perlukan telefon untuk panggil peguam."

Itu permintaan suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 14 April lalu, Hafizul Harawi, 38, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hafizul yang merupakan pengurus syarikat agensi pelancongan itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tujuh tuduhan termasuk dakwaan memiliki pistol Glock 19 Austria terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki pistol tertulis Glock 19 Austria Made In Turkey itu di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan sebuah hospital swasta, di sini, pada jam 2 petang.

Suspek (dua dari kanan) yang dikawal ketat polis tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
Suspek (dua dari kanan) yang dikawal ketat polis tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Pada tuduhan kedua, tertuduh didakwa ada dalam milikannya iaitu 33 butir amunisi atau peluru mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pada tuduhan ketiga, tertuduh didakwa ada dalam milikannya sebungkus plastik mengandungi mercun bola mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Hafizul Hawari, 38, suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk pendakwaan. Foto Bernama
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hafizul Hawari, 38, suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk pendakwaan. Foto Bernama --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada pertuduhan keempat, lima dan enam, tertuduh didakwa memiliki tiga MyKad milik tiga individu berbeza berusia 29,34 dan 35 tahun dan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sabit kesalahan bawah peraturan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda maksimum RM20,000 atau dengan kedua-duanya.

Pada pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara selama minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua pertuduhan itu juga didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan hospital swasta di sini pada jam 2 petang.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Muhammad Zaki Abdul Kudos, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dan memohon Hafizul untuk menjalani tahanan reman di Penjara Sungai Buloh kerana terlibat dengan siasatan kes lain (tembakan) di Selangor.

Hafizul bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dan meminta untuk membuat satu panggilan telefon bagi urusan pelantikan peguam.

Nik Habri seterusnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan memiliki pistol, peluru dan mercun bola, namun membenarkan jaminan berjumlah RM20,000 bagi empat pertuduhan lain.

Beliau turut membenarkan tertuduh dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh dan menetapkan sebutan semula pada 23 Mei ini bagi pengurusan kes berkenaan serta lantikan peguam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!