Nahas helikopter TLDM: Pelanggan batal tempahan bilik hotel, inap desa

Sebahagian hotel bajet di Lumut akur menerima pembatalan tempahan pada Jumaat dan Sabtu berikutan insiden dua helikopter berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan TLDM Lumut, pagi Selasa.
Sebahagian hotel bajet di Lumut akur menerima pembatalan tempahan pada Jumaat dan Sabtu berikutan insiden dua helikopter berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan TLDM Lumut, pagi Selasa.
A
A
A

LUMUT - Kebanyakan tempahan hotel bajet dan inap desa di Manjung pada Jumaat dan Sabtu ini terpaksa dibatalkan berikutan insiden dua helikopter berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini pagi Selasa.

Seorang pengurus sebuah hotel bajet, Chin Meng, 46, berkata, sebanyak 20 bilik penginapan di hotel bajet itu sebelum ini penuh yang kebanyakannya di tempah ahli keluarga TLDM bagi menghadiri sambutan Ulang Tahun dan Perbarisan Sempena Hari TLDM ke-90.

Bagaimanapun, katanya, setakat Rabu, hanya enam bilik masih tersedia, manakala 14 bilik lagi sudah dibatalkan tempahan.

"Perkara seperti ini tidak terduga dan kami bersimpati dengan apa yang berlaku dan pada masa ini bukanlah keuntungan menjadi keutamaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Seorang pekerja sebuah lagi hotel bajet, M Manogari, 26, memberitahu, pihak hotel menerima empat tempahan bilik pada hujung minggu ini daripada ahli keluarga TLDM.

"Namun, saya dimaklumkan mereka yang menempah empat bilik ini tidak dapat bermalam disebabkan insiden tersebut," katanya.

Jelasnya, pihak hotel memahami situasi tersebut dan mengambil inisiatif memulangkan semula wang deposit.

"Lebih penting dalam keadaan mereka berasa sedih, kami juga perlu peka dengan apa yang berlaku lebih-lebih kejadian ini tidak terduga," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pemilik inap desa, Mohd Fahmi Rosslan, 37, berkata, dalam keadaan semua rakyat bersedih, pihaknya juga tidak mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku.

Ujarnya, terdapat tempahan inap desa pada tarikh tersebut, namun dibatalkan atas masalah tersebut.

"Kami mengenakan deposit RM50 semalam dan telah memulangkan duit tersebut kepada penyewa disebabkan perkara ini.

"Kami berdukacita mendengar insiden kemalangan udara dan berharap ahli keluarga tabah dan kuat menghadapi dugaan," tambahnya.

Dalam kejadian 9.30 pagi Selasa, dua helikopter yang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM yang berlepas dari Padang Astaka Sitiawan, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!