291 peserta berjaya tamat latihan kemahiran, keusahawanan

Ariffin (tengah), Tengku Noraida (tiga dari kanan) dan Wan Mohd Hasnan (empat dari kiri) bergambar bersama peserta Program Yayasan PETRONAS empower ECER di TTC, Kuala Terengganu, Terengganu pada Selasa.
Ariffin (tengah), Tengku Noraida (tiga dari kanan) dan Wan Mohd Hasnan (empat dari kiri) bergambar bersama peserta Program Yayasan PETRONAS empower ECER di TTC, Kuala Terengganu, Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Yayasan PETRONAS (YP) bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) meraikan 291 peserta yang berjaya menamatkan program latihan mereka dalam bidang kemahiran dan keusahawanan.

Diraikan dalam Majlis Apresiasi Program Yayasan PETRONAS empower ECER di Terengganu Trade Centre (TTC), di sini pada Selasa, kesemua peserta dari daerah Besut dan Kuala Terengganu itu turut menerima kit memulakan perniagaan yang akan membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya beliau menyambut baik usaha YP dan ECERDC menganjurkan program berkenaan yang mampu meningkatkan kapasiti para usahawan dan penduduk tempatan mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Sesungguhnya kerajaan Terengganu menyokong segala usaha baik yang direncanakan oleh pihak YP dan ECERDC membantu usahawan-usahawan di Terengganu dengan pelbagai inisiatif dan program seperti ini.

“Justeru, adalah diharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis apresiasi itu yang turut dihadiri Pengurus Besar, Bahagian Pembangunan Modal Insan, ECERDC, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah dan Ketua Operasi YP, Tengku Aida Tengku Mahmood,

Pada masa sama, majlis itu turut menyaksikan seramai 10 wakil peserta dari daerah Besut dan Kuala Terengganu menerima sijil tamat latihan program Upskilling Employment yang mana sebilangan besar daripada mereka berjaya mendapatkan penempatan pekerjaan dengan gaji minimum RM1,800.

Turut disaksikan ialah penyerahan sijil kolaborasi kepada sembilan rakan strategik Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Kuala Terengganu iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Sementara itu, Tengku Noraida memberitahu, pelaksanaan Program Yayasan PETRONAS empower ECER dengan penglibatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku rakan pelaksana, semua pihak dapat memainkan peranan memastikan kelestarian impak program seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di wilayah Pantai Timur.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!