Sultan Selangor adakan pertemuan dengan PM di Seri Perdana
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Selasa.
Istana Selangor menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office memaklumkan pertemuan minum petang itu adalah sempena sambutan Aidilfitri yang masih berlangsung.
"Pada pertemuan minum petang dan sempena Hari Raya Aidilfitri ini, baginda dan Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berkesempatan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa,” menurut catatan yang turut diiringi gambar pertemuan itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut berkongsi mengenai pertemuan itu menerusi hantaran di media sosial beliau.
Sambil menjunjung kasih kunjungan baginda ke Seri Perdana, Perdana Menteri berkata, pada pertemuan itu, Sultan Selangor memberi pandangan serta nasihat kepada beliau mengenai rakyat dan negara.
"Menjunjung kasih Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Seri Perdana petang semalam.
"Memanfaatkan dari pandangan dan nasihat Tuanku mengenai rakyat dan negara,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook pada Rabu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!