'Jika nyawa boleh diganti, biarlah saya pergi dulu'- Bapa Sivasutan

Leftenan T Sivasutan (kiri), Thanjappan ketika ditemui di kediamannya di Taman Serdang Jaya pada Rabu.
Leftenan T Sivasutan (kiri), Thanjappan ketika ditemui di kediamannya di Taman Serdang Jaya pada Rabu.
A
A
A

LUMUT - Bapa kepada Leftenan T Sivasutan mengakui jika diberi peluang sanggup menggantikan nyawanya sendiri asalkan anaknya yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat meneruskan hidup.

M Thanjappan, 61, berkata, walaupun tidak dapat melawan takdir, namun rela nyawanya diambil terlebih dahulu berbanding anaknya yang masih muda.

"Walaupun takdir itu betul, biarlah ia berlaku pada diri saya memandangkan umur saya sudah lebih 60 tahun, manakala umur anak pula separuh daripada saya.

"Biarlah saya yang masuk dalam keranda itu, sebab saya dah tua, tiada apa lagi yang saya mahukan di dunia ini lebih-lebih lagi saya sudah bersara sebagai guru," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Serdang Jaya pada Rabu.

Thanjappan memberitahu, mendiang yang baharu berkahwin pada 25 Januari lalu merupakan anak kedua daripada tiga beradik disifatkan seorang yang mengambil berat dan baik hati terhadap keluarga.

Jelasnya, Sivasutan juga biasanya mengikut sahaja nasihat dia dan isterinya, R Paramesvary, 60, dalam membuat sebarang keputusan demi kebaikan anak mereka.

"Mendiang sangat menjaga keluarga contohnya kalau emak dia sakit, dia cepat-cepat beli ubat, dan tidak lokek membeli barang untuk keluarga," tambahnya.

Malah, pesara guru itu memberitahu, anaknya juga sering bergurau dengan ibunya jika melihat wajah Paramesvary tidak ceria.

Artikel Berkaitan:

Jelas Thanjappan, biarpun dia kehilangan Sivasutan yang merupakan juruterbang di unit Skuadron 502, namun berasa bangga kerana anaknya itu dianggap wira negara.

"Mungkin di Manjung ini ramai tidak kenal dia, tetapi hari ini seluruh Malaysia sudah mengenalinya.

"Dia satu-satunya juruterbang kaum India di TLDM Lumut dan pemergiannya ini bukan sahaja kehilangan buat keluarga, tetapi warga TLDM," tambahnya.

Sivasutan adalah antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu pesawat Operasi Maritim (HOM-AW139) yang dinaiki tujuh anggota.

Dalam kejadian 9.30 pagi Selasa, dua helikopter yang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan helikopter Fennec TLDM yang berlepas dari Padang Astaka Sitiawan, Perak.

Pesawat HOM-AW139 terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!