Nahas helikopter TLDM: Laporan interim siap dalam masa dua minggu
PUTRAJAYA - Laporan interim berhubung insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas dan mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya akan siap dalam tempoh dua minggu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, laporan penuh berhubung insiden berkenaan akan disediakan dalam tempoh sebulan.
Fahmi menjelaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan komitmen tersebut pada mesyuarat kabinet yang diadakan pada Rabu.
"Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berbincang dengan mendalam mengenai insiden nahas helikopter TLDM semalam dan Menteri Pertahanan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu.
"Laporan penuh (nahas dua helikopter TLDM) ini akan siap dalam tempoh sebulan," katanya pada sidang media pasca mesyuarat kabinet pada Rabu.
Beliau juga memaklumkan Khaled akan membuat pengumuman berhubung bantuan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.
Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!