Arwah ada suarakan hasrat bersara awal - Sepupu
KUALA LUMPUR - Mangsa korban helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin ada menyuarakan hasrat untuk bersara awal.
Sepupu Allahyarham, Saiful Azmi Roslani, 48, berkata, perkara itu ada dinyatakan oleh arwah kepada bapanya semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Dia yang bertugas sebagai penerbit di Suria FM berkata, hasrat arwah itu bagaimanapun tidak menjadi tajuk perbualan ahli keluarga kerana mengetahui Allahyarham sangat meminati kerjayanya di awan biru.
Menurutnya, Allahyarham sangat teruja bercerita tentang pengalaman membawa helikopter.
"Dalam kalangan sepupu mengetahui bahawa arwah sangat meminati kerjayanya.
"Dahulu beliau membawa kapal terbang dan kini membawa helikopter. Banyak cerita di awan biru dikongsikan olehnya.
"Cuma kami semua tidak menyangka hasrat beliau untuk pencen awal menjadi kenyataan," katanya yang ditemui di pekarangan Masjid Salehuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, dekat sini pada Rabu.
Sementara itu, Saiful Azmi Sukiman, 38, berkata, Allahyarham merupakan seorang yang sangat sibuk dengan tugasannya.
Dia yang juga sepupu arwah berkata, ekoran itu Allahyarham jarang bertemu dengan sepupu-sepupunya.
Namun begitu menurutnya, arwah seorang yang ceria, baik serta ramah meskipun tidak banyak bercakap.
"Arwah anak sulung daripada tiga adik-beradik dan menjadi harapan kepada keluarga," ujarnya.
Sementara itu, Siti Arba'iyah Bahudin, 43, berkata, dia sudah lama tidak ketemu dengan arwah sejak dua tahun lalu.
Dia yang merupakan sepupu kepada Allahyarham berkata, mereka sangat rapat semasa kecil kerana hampir sama baya.
"Allahyarham jenis yang tidak banyak cakap, tetapi murah dengan senyuman," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!