[VIDEO] Pekebun musang king di Raub pertimbang failkan rayuan

A
A
A

KUANTAN - Seramai 186 pekebun durian musang king di Raub akan mengadakan perbincangan bagi memutuskan sama ada memfailkan rayuan selepas mahkamah menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh kerajaan negeri.

Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA), Chow Yu Hui berkata, meskipun kecewa, pihaknya tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan itu dan rayuan akan dibuat dalam masa terdekat jika semua pekebun bersetuju.

"Kalau mereka semua (pekebun) setuju, kita akan failkan rayuan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan pada Rabu.

Yu Hui yang juga Ahli Parlimen Raub memberitahu Kerajaan Pahang sepatutnya memberi pajakan tanah durian kepada semua pekebun kerana mereka adalah orang tempatan.

Yu Hui (dua dari kanan) bersama barisan peguam dan pekebun yang hadir mendengar keputusan berhubung permohonan mereka di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Rabu.
Yu Hui (dua dari kanan) bersama barisan peguam dan pekebun yang hadir mendengar keputusan berhubung permohonan mereka di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Rabu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Pahang, memberi pajakan tanah kepada sebuah syarikat besar yang tidak mempunyai pengalaman dalam aktiviti penanaman durian.

"Pekebun di Raub di Kampung Sungai Chalit, Sungai Ruan dan beberapa kampung lagi, mereka adalah penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tidak memiliki tanah, tetapi mereka berhak untuk mendapat pajakan tanah kerana sumbangan mereka telah mengharumkan nama Musang King di seluruh dunia, tetapi hari ini, berlaku sebaliknya," luahnya.

Sementara itu, peguam mewakili pekebun, Siew Choon Jern berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah.

"Kita akan berbincang apakah tindakan yang lebih baik supaya kepentingan pekebun tidak terjejas. Alasan penghakiman hari ini juga panjang dan perlu diteliti terlebih dahulu.

"Rayuan adalah satu cadangan yang akan dibincangkan," katanya.

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 186 pekebun durian musang king di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka sebelum ini.

Selain itu, Hakim Datuk Mohd Radzi Harun turut menolak semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan Pahang yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM600,000 kepada kepada kesemua responden.

Pada 2020, pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Sebanyak 186 pekebun memfailkan permohonan dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Selain, untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!