Mohd Shahrizan wira di hati kami semua - Ibu

Mohd Termizi (kanan) dan Hasnah (kiri) menunjukkan gambar anak mereka Allahyarham Mohd Shahrizan ketika ditemui bual di kediamannya di Taman Bunga Tanjung Lekir pada Rabu. Foto Bernama
Mohd Termizi (kanan) dan Hasnah (kiri) menunjukkan gambar anak mereka Allahyarham Mohd Shahrizan ketika ditemui bual di kediamannya di Taman Bunga Tanjung Lekir pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

LUMUT - Tiada kata dapat digambarkan oleh Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, dan isterinya, Hasnah Yasim, 67, selain perasaan bangga apabila anak mereka memilih untuk menjadi wira mempertahankan negara.

Walaupun kejadian menimpa anak sulungnya itu sesuatu yang menyedihkan dirinya dan keluarga, dia berbangga pemergian Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi itu adalah demi tugasnya untuk negara.

Sekalipun sebak apabila mengenang Mohd Shahrizan yang gugur dalam nahas dua helikopter terhempas pagi semalam, Hasnah reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

"Dia anak sulung dalam keluarga ini yang menyertai bidang ketenteraan, kemudian adiknya yang ketiga dan keenam mengikut jejak langkah menjadi anggota tentera darat.

"Walaupun terkorban ketika bertugas dan bukan dalam medan pertempuran, semangatnya yang sentiasa bersedia berkorban demi negara amat kami kagum, dia ialah wira kami semua," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Termizi berkata, pemergian Mohd Shahrizan sangat dirasai dan anaknya disifatkan seorang yang baik, bertanggungjawab dan amat mengambil berat serta disenangi semua keluarga termasuk rakan kerja.

"Sepatutnya dia akan tamat perkhidmatan dalam tentera laut selepas sudah berkhidmat lebih 20 tahun, namun dapat menyambung kerjayanya lima tahun lagi.

"Mohd Shahrizan ada menyatakan ramai rakan akan tamat perkhidmatan tahun hadapan dan dia antara yang layak sambung perkhidmatan, tetapi sudah tertulis bukan rezeki anak saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nahas dua helikoper yang terhempas semasa Latihan Lintas Hormat Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pada 9.32 pagi di Pangkalan TLDM Lumut semalam mengorbankan 10 nyawa iaitu masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Mohd Shahrizan yang menaiki pesawat Fennec maut bersama Pegawai Memerintah Skuadron 502 Komander Muhamad Amir Mohamad dan Leftenan T. Sivasutan.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu baru selesai menjalani kursus untuk kenaikan pangkat kepada Pegawai Waran I.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, dan tiga anak Nurul Shahfiqah, 21, Nurul Shahfizah, 20 dan Nurul Shahfirul, 15. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!