PAGE mahu sekolah buka kelas DLP
SHAH ALAM - Sekumpulan ibu bapa melakukan bantahan aman di hadapan sebuah sekolah rendah di Damansara, Kuala Lumpur bagi menggesa pihak tersebut agar salah satu kelas yang melaksanakan bukan Program Dwibahasa (DLP) untuk mengikuti program DLP sepenuhnya.
Setiausaha Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata, ia disebabkan ibu bapa tidak bersetuju anak mereka mengikuti kelas berkenaan.
“Bantahan ini dibuat kerana mereka mahu anak-anaknya mengikuti kelas DLP, tetapi pihak sekolah menetapkan jika ingin masuk ke kelas DLP, murid Tahun Satu ini perlu dinilai.
“Namun begitu, dalam garis panduan DLP, ia tidak menyatakan bahawa murid yang mengikuti kelas itu wajib dinilai terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian selepas bantahan aman tersebut dijalankan pada Rabu.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan DLP yang membolehkan ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak di sekolah.
Tambah Tunku Munawirah, pihak sekolah perlu membuka kelas lain bagi program DLP, sekiranya ibu bapa memilih untuk memasukkan anak-anak Tahun Satu ke rancangan berkenaan.
Ujarnya, ia sudah dituliskan dalam garis panduan DLP untuk menambah bilangan sekolah, kelas dan murid bagi program itu.
“Sepatutnya kalau ada 15 murid dan ibu bapa yang mahu kelas DLP dan sekolah ada sumber, mereka perlu wujudkan kelas DLP. Itu ada dalam garis panduan.
“Katalah sekolah ini ada enam kelas darjah satu, tetapi lima kelas DLP tetapi ada satu kelas ‘non-DLP’, walaupun tiada ibu bapa yang pilih,” jelasnya.
Selain itu, Tunku Munawirah memaklumkan bahawa pihak sekolah akan menetapkan murid Tahun Satu memasuki kelas ‘non DLP’, meskipun ibu bapa tidak bersetuju.
Ujarnya, penilaian dilaksanakan bagi murid Tahun Satu yang ingin menukar kelas, namun ia tidak ditetapkan dalam garis panduan program berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!