Kaji semua pandangan dalam isu hapus hukuman mati
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong memberi jaminan bahawa pandangan kesemua pihak berkepentingan akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam proses membuat keputusan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk menghapuskan hukuman mati mandatori sahaja, dan bukan hukuman mati secara keseluruhannya.
Liew berkata langkah berkenaan selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa di mana hakim mempunyai budi bicara dalam mengenakan hukuman mati berdasarkan fakta dan keadaan khusus setiap kes yang berbeza.
“Laporan akhir Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan dikemukakan kepada saya pada akhir bulan ini sebelum tindakan lanjut diambil.
“Saya juga memberi jaminan bahawa pandangan kesemua pihak berkepentingan dalam perkara ini akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam proses membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai respons kepada kebimbangan yang dikemukakan oleh ahli keluarga dan wakil-wakil mangsa pembunuhan pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum di Putrajaya semalam.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!