Tangkap segera penyebar aib nahas helikopter
NAHAS dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertembung dalam kejadian di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada pagi Isnin sehingga mengorbankan 10 anggota dan pegawai unit beruniform itu merupakan detik hitam buat negara.
Bahkan kejadian yang berlaku pada jam 9.32 pagi itu bukan hanya meruntun hati keluarga mangsa tetapi sesiapa sahaja yang melihat rakaman video detik kemalangan udara itu berlaku.
Cuma yang paling terkilan adalah ada perakam yang sanggup menyebarkan video selepas nahas di mana video yang disebarkan itu menunjukkan cebisan-cebisan daging tubuh mangsa.
Masih terngiang di kepala ayat pelapor dalam video itu: “Ini cebisan daging mangsa. Ini cebisan yang telah ditutup”. Begitulah pelapor ayat yang cuba menggambarkan kejadian itu amat mengerikan.
Bayangkan perasaan keluarga mangsa melihat video yang dikongsi oleh ratusan ribu, bahkan mungkin jutaan orang di WhatsApp, Facebook, X, TikTok dan sebagainya.
Sudahlah hati sedih kehilangan insan tersayang dan ditambah pula dengan penyebaran video yang menambahkan lagi luka di hati mereka.
Jadi sangat wajarlah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Menterinya, Fahmi Fadzil, memberi amaran dengan segera kepada orang ramai supaya berhenti menyebarkan video nahas helikopter.
MCMC menegaskan sesiapa yang menyebarkan dan tidak memadamkan video berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Di mana seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Namun melalui pemerhatian di mana sudah masuk hari ketiga kejadian tragis itu berlaku, penyebaran video mengaibkan itu masih lagi berlaku.
Jadi sudah tiba masanya MCMC mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan mengheret sesiapa sahaja ke muka pengadilan supaya menjadi pengajaran berguna supaya tidak ada sesiapa lagi memandang remeh atau sengaja terlupa dengan undang-undang sedia ada.
Tindakan tegas ini dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!