Badan induk Muay Thai perlu lebih aktif
MAJLIS Sukan Negara (MSN) mahu Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) lebih prokatif menggerakkan usaha untuk menganjurkan pelbagai kejohanan peringkat domestik bagi melahirkan petinju berkualiti.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan), Jefri Ngadirin berkata, program pembangunan petinju sukan tersebut ketika ini lebih banyak dipacu oleh kelab-kelab persendirian berbanding badan induk dan persatuan negeri.
Justeru katanya, kejohanan lebih berstruktur perlu dipergiat dengan kerjasama persatuan negeri dan kelab-kelab agar sukan tersebut dapat berkembang dengan lebih sistematik.
"Sebenarnya kita tengok pembangunan Muay Thai dibuat oleh kelab-kelab. Ini kerana ada persatuan negeri yang aktif, malah ada juga yang tidak aktif.
"Jadi kita harap persatuan negeri anjur pertandingan yang lebih berstruktur, begitu juga dengan pembangunan jurulatih perlu dilakukan dengan lebih bersistematik. Ketika ini tak ramai jurulatih yang mempunyai persijilan tinggi.
"Badan induk kena main peranan rangka banyak perancangan. Jadi tugas mereka untuk pastikan persatuan negeri aktif anjur kejohanan dan pertandingan. Dari situ baru kita akan dapat hasil untuk masa akan datang," katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan jurulatih Kelab Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohamad Ridhwan Mat Zain agar sukan Muay Thai diperkasa bagi melahirkan lebih ramai pertarung berkualiti untuk diketengahkan ke pentas antarangsa.
Katanya, biarpun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN sudah memainkan peranan, namun ia belum mencukupi, sebaliknya memerlukan penglibatan yang lebih aktif daripada persatuan Muay Thai negeri yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM).
Jefri menjelaskan bahawa Muay Thai dipertandingkan pada Sukan SEA dan menjadi antara penyumbang pingat buat kontinjen negara.
Malah beliau memberitahu, kerajaan memperuntukan sejumlah dana untuk disalurkan kepada persatuan bagi menganjurkan pelbagai kejohanan.
"Ada tiga dana yang persatuan sukan boleh dapat. Pertama, geran padanan sukan, manakala dua lagi melalui peruntukan kawasan dan menerusi MSN. Jadi persatuan kena kreatif anjur banyak kejohanan dan kursus kejurulatihan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!