Penunggang motosikal maut tercampak dalam sungai
KUALA KRAI - Seorang lelaki maut tercampak ke dalam sungai selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jambatan Toseng Sungai Batu, Jalan Kampung Toseng, di sini, pada Rabu.
Mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, kemalangan melibatkan penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
“Siasatan awal mendapati motosikal tersebut ditunggang seorang lelaki berusia 20 tahun dari arah Kampung Jerek menghala ke Dabong.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, akibatnya, mangsa tercampak ke dalam sungai berdekatan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Dabong yang tiba di tempat kejadian mengesahkan kematian mangsa.
“Kes disiasat mengikit Seksyen 41(1) AktaPengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan menjalankan siasatan secar terperinci,” katanya.
Tanbah Mazlan, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai
kemalangan ini untuk tampil menyalurkan maklumat di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
“Pihak polis juga menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!