'Syukur membesar dalam legasi keluarga pemandu lori'

Tangkap layar hantaran video dimuatnaik Nur Anissyuhada di Tiktok pada Isnin.
Tangkap layar hantaran video dimuatnaik Nur Anissyuhada di Tiktok pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak dilahirkan daripada keluarga berpendidikan tinggi, ia bukan satu kekurangan sebaliknya bersyukur kerana membesar dalam legasi keluarga pemandu lori bermula daripada arwah ayah hingga diwarisi kepada anak-anak.

Perkongsian seorang pengguna media sosial Tiktok yang memuatnaik video mengenai lima adik beradik lelakinya bekerja sebagai pemandu lori menuai pelbagai reaksi.

Perunding perkahwinan, Nur Anissyuhada Samsudin, 36, berkata, lima orang abangnya iaitu Rashidi, Shahrol Fazli, Khairol Fazimi, Muhd Fitri dan Muhd Safiy memandu lori berdasarkan minat serta pengalaman yang diasuh sejak kecil.

Menurut puteri tunggal keluarga berkenaan, arwah ayah gigih mencari pendapatan sejak anak sulung berusia 10 bulan dan selepas meninggal dunia, ilmu mengendalikan lori muatan 10 tan diturunkan kepada generasi seterusnya.

“Jadi, apabila berkumpul waktu hari raya, topik perbualan utama memang tentang lori dan jadual pergerakan kerja masing-masing di seluruh Semenanjung bahkan ada juga ke Singapura.

“Musim perayaan belum tentu semua dapat berkumpul, jika ada rezeki barulah dapat kumpul beramai-ramai kerana mereka bekerja dengan syarikat berbeza.

“Gaji pun tak sama mengikut ketetapan syarikat dan jadual perjalanan, kebanyakannya berpendapatan mencecah empat angka tetapi bergantung kepada keadaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Gadis asal Alor Setar itu memaklumkan, pendapatan besar tidak dinafikan mempunyai tanggungjawab yang berat sehinggakan terpaksa berkorban masa, tenaga dan merisikokan kesihatan demi tuntutan kerja.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, walaupun ada suara-suara nakal yang menyindir ahli keluarga bekerja sebagai pemandu lori disebabkan ia bukan bidang profesional atau dambaan masyarakat, dia berlapang dada kerana percaya dengan perancangan dan rezeki ALLAH SWT.

“Ya, semakin besar pendapatan semakin berat tanggungjawab, semua ini kita mungkin mampu merancang, selebihnya ALLAH SWT tentukan.

“Pendidikan amat penting bahkan kami juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ada yang belajar hingga ke peringkat Diploma Sains Perubatan, namun tidak meneruskannya kerana faktor ekonomi serta arwah ayah sudah uzur.

“Bagaimanapun, kami tak berputus asa untuk cari pendapatan halal dan ubah kehidupan kami sekeluarga,” ujarnya.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah anak muda yang enggan menyambung pelajaran semata-mata mengejar gaji lumayan, Nur Anissyuhada berpandangan, mencari ilmu amat penting dan dituntut dalam Islam namun jika minat ke arah kerjaya berisiko, maka terpulang kepada individu berkenaan.

“Jangan salah faham dengan kisah pendapatan lumayan sebagai pemandu lori kerana bayaran gaji setiap syarikat tak sama dan kalau ada lori sendiri, ia bergantung kepada permintaan.

“Apa pun, berbalik kepada usaha dan rezeki masing-masing. Setiap orang ada jalan cerita serta takdir, janji ALLAH SWT itu pasti bagi yang berusaha,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!