Freedom Flotilla to Gaza: Kapal sedia belayar Jumaat ini - FFC
ISTANBUL - Freedom Flotilla Coaltion (FFC) mengesahkan sudah melengkapkan segala keperluan bagi membolehkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza yang dijadualkan pada Jumaat ini, dapat disempurnakan.
Menurut Jawatankuasa Pemandu FFC, Zohar Chamberlain-Regev, ia termasuk keperluan teknikal dan 'crewing' yang merujuk kepada proses menyediakan dan menguruskan ahli kru yang diperlukan untuk suatu operasi atau aktiviti tertentu seperti mengendalikan kapal dan pesawat.
Ia juga melibatkan beberapa tugasan seperti merekrut, melatih dan mengawasi kakitangan yang terlibat dalam melaksanakan misi atau perjalanan.
“Untuk misi ini, kumpulan terakhir yang melibatkan peserta yang baru tiba sudah selesai menjalani latihan anti keganasan (non-violence training) pada Rabu.
“Kami (FFC) juga sedang bekerja bagi memindahkan kapal-kapal terlibat ke pelabuhan di Istanbul di mana prosedur dokumen untuk ratusan peserta dapat dilengkapkan untuk membolehkan pelayaran bermula pada pagi Jumaat,” katanya.
Tambahnya, misi ini terus menerima sokongan daripada jutaan warga global yang terkesan dengan kegagalan kerajaan dunia untuk melindungi kebajikan masyarakat Palestin.
Ini antara lain katanya memberi isyarat kepada rejim Israel untuk meneruskan kekejaman, kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai yang terus menerus dilakukan sehingga hari ini.
Astro Awani sebelum ini melaporkan, tiga buah kapal terdiri daripada satu kapal kargo 5000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1000 peserta terlibat dalam misi ini.
Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!