Bayi nyaris dibuang ibu sendiri berjaya diselamatkan
SHAH ALAM - Seorang pengarah urusan berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki yang ingin dibuang oleh ibunya di Taman Tasek Ampang Hilir, Ampang pada November tahun lalu.
Menurut Muhamad Haswadi Ali, dia didatangi seorang wanita dipercayai warga Indonesia selepas selesai bersenam di tasik berkenaan.
"Sebaik sahaja selesai berjogging di tasik ini, saya menuju ke kereta untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba seorang wanita yang tidak dikenali menghampiri saya dan memperkenal dirinya sebagai Riya.
"Dia meminta tolong saya untuk menjaga bayi ini dan mengancam untuk membuang bayi ini jika saya tidak ambil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jelas lelaki berusia 39 tahun itu, wanita terbabit kemudian bertindak menyerahkan bayi berkenaan bersama sebuah beg berwarna biru yang mengandungi butiran peribadi, susu dan barangan bayi.
Simpati dengan nasib wanita dan bayi itu, dia kemudian membuat keputusan untuk mengambil bayi berkenaan dan membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya bagi memaklumkan kejadian tersebut.
"Sejak dari itu saya menjaga bayi ini dan mula menganggap bayi ini sebagai anak saya sendiri," katanya.
Justeru itu, dia turut berhasrat untuk mengambil bayi lelaki berkenaan yang bernama Azrill Qayyim Abdullah berusia satu bulan sebagai anak angkat.
Dia juga telah mendapat kelulusan hak penjagaan sementara selama sebulan daripada Jabatan kebajikan Malaysia (JKM) dan Mahkamah sebelum memperoleh hak jagaan sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!