McDonald’s Malaysia pacu ekosistem TVET
PETALING JAYA - Pengendali rangkaian restoran perkhidmatan segera, McDonald’s Malaysia mengorak langkah mengembangkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dengan memperkenalkan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.
Sejajar dengan aspirasi kerajaan yang berterusan memperkasakan aliran TVET negara, pengenalan program itu menurut Naib Presiden dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi, merupakan kesinambungan kejayaan Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia yang dilaksanakan pihaknya sejak tahun 2018.
Katanya, bagi kumpulan pertama DKM Tahap 4 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, seramai 20 pelatih yang merupakan warga kerja McDonald’s akan mengikuti pengajian dalam bidang Pentadbiran Operasi Restoran Perkhidmatan Segera.
“Sebelum ini, mereka ini (20 pelatih DKM Tahap 4) telah menamatkan Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia selama 18 bulan dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Mereka yang mengikuti DKM Tahap 4 ini akan mengambil masa selama 12 bulan yang meliputi 30 peratus pembelajaran teori di akademi manakala 70 peratus lagi melibatkan latihan praktikal industri di restoran.
“Suka saya mengatakan bahawa DKM Tahap 4 ini merupakan kesinambungan bagi Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia yang mana ia mengukuhkan lagi kedudukan Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia sebagai sebuah institusi yang menyediakan akses pendidikan vokasional berkualiti kepada belia Malaysia,” katanya.
Azhar berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Diploma Kemahiran Malaysia, Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di Damansara Utama, baru-baru ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Industri dan Kerjasama Strategik, menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Kemahiran, Faizah Harun serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Ts Ahmad Kamal Md Duraibi.
Diploma setaraf
Pada masa sama, Azhar memaklumkan DKM Tahap 4, Akademi Vokasional McDonald's Malaysia kedudukannya adalah setaraf dengan diploma-diploma yang ditawarkan oleh mana-mana institusi latihan dan pengajian lain di negara ini sekali gus membuka ruang lanjutan pendidikan serta kerjaya yang lebih luas kepada para pelatih akademi itu.
“Selain peluang kerjaya yang lebih meluas, mereka juga berpeluang mengikuti pengajian ke peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5 atau setara Ijazah Sarjana Muda di universiti yang terpilih,” jelasnya lagi.
Malah, pelatih DKM Tahap 4 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia katanya, turut menerima gaji penuh sepanjang mengikuti pengajian mereka selari dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat yang dipraktikkan oleh McDonald’s Malaysia untuk kakitangannya.
Pada masa sama, kos pengajian 20 pelatih DKM Tahap 4 itu menurut Azhar dibiayai sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia meliputi yuran pengajian, kemudahan tempat tinggal, insuran perubatan, makan minum dan sebagainya.
Pengembangan kerjaya
Azhar berkata, setakat ini, terdapat lebih 4,000 perantis sedang mengikuti dan telah menamatkan SKM Tahap 3 di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.
“Sebagai permulaan, kumpulan pertama iaitu seramai 20 pelatih ini telah menyahut cabaran untuk meneruskan pengajian ke peringkat diploma dan dijangka hingga ke DLKM Tahap 5 kelak.
“Jika mereka memilih untuk terus mengembangkan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia, mereka akan menerima kenaikan pangkat serta gaji. Dengan tenaga kerja mahir yang kami keluarkan, ia mampu menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti yang berterusan di McDonald’s Malaysia,” ujarnya.
Malah, beliau berharap KESUMA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat terus berganding bahu dengan McDonald’s Malaysia melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman di negara ini.
Belia cabar diri, mahu kuasai bidang pengurusan sektor F&B
PETALING JAYA - Minat yang mendalam bidang pengurusan makanan dan minuman (F&B) mendorong anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu menyertai McDonald’s Malaysia.
Afiqah Muhamad Radi, 29, berminat meneruskan pengajiannya dalam bidang itu menerusi Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia dengan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
“Saya berpendapat bahawa program ini amat baik kerana ia membuka jalan pekerjaan dalam perkhidmatan F&B dan meningkatkan kemahiran pengurusan yang tidak pernah kita ketahui sebelum ini,” jelasnya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Afiqah yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi, Senawang itu berkata, sebagai Penolong Pengurus, dia kini mampu menjalankan tugas dengan lebih baik mengendalikan operasi harian cawangan restoran McDonald’s di Stesen Petronas, Kota Damansara.
“Selepas ini saya akan menyambung pengajian dalam Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4. Saya yakin peluang yang ditawarkan ini boleh memajukan diri saya ke peringkat lebih tinggi dan boleh membantu keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengurus cawangan restoran McDonald’s di Mutiara Damansara, Joel Jalong Joseph, 21, memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka keputusannya menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia selepas tingkatan tiga telah membawa perubahan yang besar kepada hidupnya.
“Selepas saya memperoleh DKM Tahap 4, saya berhasrat untuk sambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Saya yakin dengan peluang yang diberikan McDonald’s Malaysia, saya mampu membina kerjaya dan masa depan yang baik dalam bidang ini,” katanya yang berasal dari Miri, Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!