Bina generasi bebas rasuah
SHAH ALAM - Jelajah Antirasuah Mara X Rasuah Busters memberi manfaat besar kepada pelajar apabila didedahkan dengan ilmu pengetahuan mengenai rasuah.
Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Mohamad Firdaus Abd Razak berkata, generasi muda kini sebenarnya rapuh dan mudah dibeli dengan sesuatu jika tidak mempunyai daya tahan dan ilmu yang cukup.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk bina balik generasi yang mempunyai jati diri sekali gus bebas rasuah demi agama, bangsa dan negara.
"Kami mengucapkan terima kasih di atas kunjungan Rasuah Busters untuk sama-sama berkongsi ilmu mengenai rasuah antaranya apa itu rasuah, cara elak atau hindar dan banyak lagi.
"Sememangnya ini adalah peluang yang sangat besar dan bermanfaat kepada kami," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, program berkenaan mendapat sambutan daripada 835 warga MRSM Sungai Besar termasuk guru, pelajar serta kakitangan sekolah berkenaan.
Sementara itu, Presiden Badan Wakil Pelajar MRSM Sungai Besar, Mukhlis Ahmad Tarmizi, 17, berkata, program Rasuah Busters itu sangat bermanfaat kepada pelajar untuk lebih memahami maksud rasuah.
"Sebagai pemimpin, perkara tersebut perlu difahami oleh saya agar dapat menegur atau mengambil tindakan kepada mana-mana pelajar yang berbuat demikian.
"Pemahaman rasuah perlu bermula di peringkat sekolah agar sebati dalam diri masing- masing.
"Apa ilmu yang diperoleh hari ini, saya akan sampaikan kepada kawan-kawan yang lain kerana rasuah berkait rapat dengan kehidupan seharian kita," katanya.
Menurut Bendahari Biro Lembaga Disiplin Pelajar MRSM, Adani Damia Isharizam, 17, sebelum ini dia fikir rasuah hanya melibatkan pemberian atau penerimaan duit, namun hakikatnya boleh terjadi dalam pelbagai bentuk.
"Kini saya sudah tahu rasuah ada banyak kategori selain wang ringgit malah boleh jadi di merata tempat bukannya di tempat kerja semata-mata.
"Saya teruja untuk menyertai program ini, biasanya kita dapatkan maklumat melalui dalam talian namun tidak semua dibaca. Ia berbeza dengan program Rasuah Busters yang lebih dekat dengan orang ramai terutamanya pelajar," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!