Pahang peruntuk RM1.2 juta beli al-Quran braille
KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1.2 juta bagi pembelian al-Quran braille untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negeri ini membaca al-Quran.
Peruntukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu itu juga bagi membiayai penganjuran latihan yang bersesuaian termasuk kepada tenaga pengajar kelas pengajian al-Quran braille di Pahang.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, program itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
Menurutnya, inisiatif itu antara usaha kerajaan negeri dalam menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan OKU penglihatan di negeri ini.
"Ia juga membuktikan isu berkaitan OKU penglihatan beragama Islam di negeri ini dalam mempelajari ilmu agama dan al-Quran sentiasa diberi perhatian.
"UnIPSAS juga telah mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan kepakaran, modul dan penyelidikan berkaitan dengan OKU.
"Hal ini menunjukkan universiti sentiasa bersedia untuk meningkatkan penguasaan ilmu dalam kalangan OKU dan membuktikan kekurangan bukan menjadi halangan kepada golongan tersebut untuk berjaya dalam akademik dan sahsiah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Celik Al-Quran Bagi OKU Penglihatan Peringkat Negeri Pahang di sini pada Khamis.
Turut hadir, Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Sabariah berkata, antara objektif penganjuran program itu adalah untuk menggalakkan perkembangan kelas pengajian al-Quran braille di Pahang untuk golongan OKU penglihatan.
"Selain menyediakan al-Quran braille, usaha menambah baik kemudahan di Kelas Pengajian Al-Quran Braille di Temerloh juga akan dilaksanakan untuk keselesaan kepada pelajar.
"Selain menyediakan fasiliti terbaik, usaha untuk menambah bilangan tenaga pengajar juga akan ditingkatkan memandangkan hanya seorang yang ada ketika ini," katanya.
Berdasarkan rekod JKM, terdapat 41,898 OKU berdaftar di Pahang dan 3,737 daripadanya adalah OKU penglihatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!