AMK desak UM laksana siasatan jemput Bruce Gilley

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Universiti Malaya (UM) melakukan siasatan mendalam berkaitan kontroversi menjemput profesor didakwa pro-Israel, Bruce Gilley dalam satu program di universiti itu.

Menurut kenyataan AMK, ada pihak yang perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana tidak melaksanakan semakan latar belakang terhadap pendokong genosid itu.

"Kenyataan Bruce Gilley di aplikasi X yang dipercayai menyifatkan Malaysia sebagai pendokong Holocaust juga adalah melampau dan menyeleweng.

"Perjuangan Malaysia selama ini adalah bagi pembebasan Palestin seperti yang dibawa oleh Perdana Menteri di persada dunia," katanya pada Khamis.

Terdahulu, UM mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Tambah kenyataan itu, dalam menghormati universiti sebagai ruang wacana awam, ia terhad kepada perkara yang boleh diwacanakan.

"Soal genosid dan pembersihan etnik di Palestin bukanlah satu wacana tetapi hal yang jelas nyata merupakan kekejaman rejim Zionis Israel.

"Bagaimanapun, AMK menghargai tindakan UM yang membatalkan terus sesi syarahan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

AMK turut menyatakan pendirian bahawa kekal menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

"Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!