Norjuma didakwa cederakan tiga individu, lakukan khianat
KUALA LUMPUR – Bekas personaliti televisyen dan usahawan tudung, Norjuma Habib Mohamed didakwa di empat Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat tujuh tahun lalu.
Norjuma, 44, berdepan tiga pertuduhan mencederakan tiga individu dengan mencakar tangan, menampar pipi dan menendang betis tujuh tahun lalu.
Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang serta kamera litar tertutup (CCTV).
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan, Amira Abd Aziz, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim.
Mengikut pertuduhan pertama, usahawan tudung ini didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017 lalu.
Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di pusat tuisyen di Plaza Batai Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018 lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.
Tiga pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi kes mengkhianat, wanita ini didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.
Kes dibuat Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma diwakili peguam, Izzat Amir.
Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!