Pemilik, pembantu rumah kebajikan ditahan disyaki pukul penghuni

Antara rakaman video yang tular di media sosial berkaitan kes berkenaan.
Antara rakaman video yang tular di media sosial berkaitan kes berkenaan.
A
A
A

KULIM - Polis menahan seorang pemilik dan pembantu rumah kebajikan orang tua di sini susulan seorang lelaki warga emas yang juga penghuni rumah terbabit dipukul menggunakan kayu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim menerima laporan daripada seorang wanita pada jam 3.50 petang, Rabu berkaitan kes terbabit.

Katanya, terdapat empat rakaman video yang telah tular di media sosial sebelum itu.

"Kita telah menjalankan siasatan dan menahan lelaki tempatan berusia 44 tahun yang merupakan pemilik rumah kebajikan terbabit dan seorang perempuan tempatan berusia 36 tahun yang juga pembantu rumah kebajikan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa yang berusia 70 tahun sering mendatangkan masalah kerana nyanyuk.

"Bagaimanapun pihak polis masih menyiasat jika terdapat mangsa-mangsa lain yang turut dipukul di rumah kebajikan berkenaan," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

"Pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana siasatan masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Kepada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan jenayah boleh disalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!