SSPA terbaik pernah diperkenalkan - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan dalam waktu terdekat dijamin antara yang terbaik pernah diperkenalkan di dalam negara.

Berucap di hadapan 2,600 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim itu juga membabitkan implikasi kewangan tertinggi.

"Ini bukan masalah saudara, masalah kita semua untuk cari dana, tetapi masalah Menteri Kewangan... Saya akan berunding dengan Menteri Kewangan," katanya dalam nada berseloroh pada Khamis.

Ujar beliau, kerajaan pimpinannya tidak pernah menganggap kajian SSPA sebagai suatu perkara ringan yang boleh dipandang enteng.

"Tidak benar kalau kata kita tidak beri perhatian (kerana) di dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Perbendaharaan (KSP) saya tekankan tidak mahu ada kelompok yang tersisih.

"Kita mahu ambil tindakan SSPA secara menyeluruh dan dilakukan bersama dengan reformasi penjawat awam," kata Anwar.

Menurutnya, dengan pengiktirafan menerusi SSPA itu, kerajaan mengharapkan prestasi yang lebih baik dan lebih komited daripada seluruh penjawat awam.

"Ketua jabatan mesti membuat pemantauan kerana dalam kelompok besar ada yang malas dan lemah.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak fikir orang malas atau lemah diberi pengiktirafan kenaikan pangkat sebagai suatu perkara biasa," tegasnya.

Anwar berkata, kemudahan Semenanjung ke Sabah dab Sarawak atau sebaliknya yang diberikan sebelum ini akan dikaji semula.

"Kemudahan tetap diberikan tetapi kita pilih dan nilai berdasarkan prestasi masing-masing.

"Kalau sudah lembab atau malas, saya tidak fikir kita harus berikan pengiktirafan.

"Mungkin langkah ini tidak popular saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi berkaitan bincang dan memberi pandangan. Kita dengar dan ubah suai," katanya.

Mengulas lanjut mengenai reformasi penjawat awam, Anwar berkata, ia bererti kerajaan tidak melayan penjawat awam yang lemah prestasi.

"Kalau kita mahu angkat martabat negara, lebih efisien, kita nak nilai orang dari segi prestasi dia, kita tidak boleh anggap orang itu wajar diberi pengiktirafan semata-mata kerana umur dan lama perkhidmatannya.

"Saya mahu perkara ini lebih tegas dan keras sesuai dengan pengiktirafan," katanya.

Pada Februari lalu, Anwar dilapor berkata, laporan akhir kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013, iaitu membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!