Jual mesin jahit untuk bayar yuran sekolah anak
BATU PAHAT - "Ada yang kata saya penipu tetapi saya langsung tidak kisah kerana mereka tidak tahu kesusahan saya sehingga perlu jual mesin jahit," kata Nordiana Liza Hashim, 35.
Kisah Nordiana yang terpaksa menjual mesin jahit bagi menampung yuran sekolah dua orang anaknya dan membeli keperluan suami, Radin Abu Bakar Abdul Rahman, 35, yang terlantar akibat strok tular di media sosial sebelum ini.
Nordiana berkata, mesin jahit yang masih berfungsi dengan baik itu dibeli dengan wang simpanannya sewaktu bekerja di sebuah kilang kain, empat tahun lalu.
Katanya, walaupun berat hati melepaskan mesin jahit kesayangannya itu, namun dia tidak mempunyai pilihan lain selain menjualnya dengan harga RM1,000.
"Yuran sekolah anak berusia 10 dan 12 tahun sebanyak RM300, saya minta tangguh dulu. Buat masa sekarang, perbelanjaan banyak ditumpukan kepada suami.
"Suami bergantung kepada susu sebagai sumber makanan. Leher suami ditebuk untuk sedut kahak, susu pula dimasukkan melalui tiub di hidung. Tiga hari perlu satu tin susu formula khas berharga RM90," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Walaupun menerima bantuan bulanan RM300 dari Baitulmal dan RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Nordiana tidak berpeluk tubuh, sebaliknya dia turut bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara kehidupannya sekeluarga.
"Majikan memahami saya dan membenarkan saya pulang untuk memberikan susu melalui tiub kepada suami. Suami tinggal seorang di rumah, anak- anak pula bersekolah.
"Dulu suami buat kerja-kerja pendawaian elektrik. Dia seorang yang penyayang dan ceria.Saya menaruh harapan tinggi tengok suami yang terlantar sejak 2017 akibat strok kembali sihat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!