Bangkai, serpihan helikopter terhempas dibawa keluar dari lokasi nahas
IPOH - Bangkai dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Selasa lalu telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Operasi membawa keluar bangkai dan serpihan pesawat HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) itu dimulakan pada jam 9 pagi pada Khamis dan selesai sekitar jam 4.30 petang tadi.
Proses dimulakan dengan mengeluarkan serpihan pesawat Fennec (M502-6) di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut diikuti kerja-kerja mengalihkan bangkai pesawat HOM (M503-3) yang terhempas di Stadium TLDM Lumut.
Sumber TLDM yang dihubungi Sinar Harian berkata, semua bangkai pesawat tersebut ditempatkan dalam Pangkalan TLDM Lumut bagi memudahkan proses siasatan dijalankan.
Menurutnya, pasukan penyiasat yang ditubuhkan TLDM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menjalankan siasatan di lokasi kejadian sejak hari pertama nahas berlaku.
"Sepertimana dalam kenyataan sebelum ini, proses siasatan akan mengambil masa.
"Pasukan penyiasat mahu bangkai pesawat dikekalkan dalam pangkalan untuk memudahkan pemeriksaan kerana berdasarkan dapatan siasatan nanti, kemungkinan ada cross check (semak silang) atau simulasi-simulasi yang perlu dijalankan ke atas pesawat," katanya.
Media semalam melaporkan, laporan interim nahas dua helikopter TLDM yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya akan siap dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh pula disiapkan dalam tempoh 30 hari.
Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.
Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang berlangsung Sabtu ini.
Semua jenazah kru yang terkorban dalam nahas tersebut telah disemadikan dengan jasad terakhir, Leftenan T Sivasutan, 31, selamat menjalani upacara pembakaran di Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram di Sitiawan jam 12.15 tengah hari pada Khamis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!