Pemuda berjalan guna tangan capai impian ke sekolah sukan
KOTA BHARU - Ketabahan dan kesungguhan bermain takraw walaupun dalam keadaan kekurangan fizikal membuahkan hasil apabila impian untuk menjejakkan kaki ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tercapai.
Biarpun hanya lima hari, pengalaman dilalui Muhammad Fikri Che Mood, 27, menerusi program Petronas 50 Dreams itu akan menjadi detik paling berharga buatnya yang sekian lama menyimpan cita-cita menjadi atlet di sekolah sukan.
Muhammad Fikri mempunyai masalah lutut sejak lahir dan tidak boleh berjalan seperti individu normal, namun mempunyai minat yang mendalam dalam sukan takraw.
*media[2627370]**“Saya pernah menyimpan hasrat untuk memasuki sekolah sukan tetapi tidak merebut peluang ketika remaja dan sekarang sudah lebih had umur.
“Saya juga menyimpan impian untuk pergi ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan impian itu tercapai melalui Petronas apabila membawa saya ke sana pada 12 hingga 16 Mac lalu dan saya sangat berterima kasih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Petronas Pantai Timur 2024 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Menurut Muhammad Fikri, dia berkeadaan kurang upaya sejak lahir dan menggunakan tangan dan lutut untuk berjalan.
Katanya, situasi itu bagaimanapun tidak pernah menjadi halangan untuknya bukan hanya aktif bersukan bahkan turut mempunyai pendapatan sendiri sebagai tukang gunting rambut.
“Saya ada masalah lutut sejak lahir dan tak boleh berjalan seperti orang normal, awalnya memang murung tetapi saya sentiasa berdoa supaya ALLAH menguatkan semangat saya.
“Sukan sepak takraw saya paling minat, mula-mula main memang susah tetapi tetap cuba dan berlatih bersungguh-sungguh, tidak lama kemudian boleh bermain dan saya juga mempunyai kedai gunting rambut di Pasir Puteh,“ katanya yang berasal dari Kampung Banggol Stol, Selising.
Tambah Muhammad Fikri, selain dia yang juga anak bongsu daripada enam beradik itu, abangnya keempatnya turut mengalami nasib sama dan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.
“Abang juga tidak dapat berjalan dan tidak bekerja.
“Tetapi kami masing-masing menerima RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu menyara kehidupan,” ujar lelaki yang masih bujang itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!