PRK KKB: Khairul Azhari diumum calon PN

Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon PN bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon PN bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
A
A
A

HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Khairul Azhari, 54, yang juga anak tempatan merupakan seorang ahli perniagaan dan pernah menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Majlis Tertinggi PN memilih anak tempatan itu atas dasar tolak ansur dan timbang rasa untuk memberi kemenangan kepada parti tersebut.

"Beliau (Khairul Azhari) mesti bersedia untuk bekerja bertungkus lumus untuk menjadi jurubicara dalam DUN Selangor supaya nasib rakyat yang ada di KKB ini terus terbela.

"Kalau menang, kemenangan itu akan menjadi satu isyarat kepada Kerajaan Madani bahawa rakyat di KKB sudah menolak Kerajaan Perpaduan yang ada," katanya pada Majlis Pengumuman Calon PN PRK KKB di Bilik Gerakan Utama parti itu di Bandar Utama Batang Kali di sini pada malam Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S P Punithan.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas majlis itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, pemilihan Khairul Azahari sebagai calon Melayu pertama di kerusi DUN KKB sudah diteliti dari semua sudut.

Menurutnya, aspek yang diambil kira bukan sahaja dari segi kerusi dan jumlah pengundi tetapi juga impak hubungan rapatnya dengan penduduk setempat selain mengambil kira keadaan negara yang berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk dari segi ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Beliau ada kelayakan, anak tempatan, disenangi ramai dan dalam umur yang cukup dewasa, saya fikir dia boleh berperanan sebagai wakil rakyat," ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Azhari berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk memenangkan PN dan akan menyusun gerak kerja kempen.

"Tapi saya tak mahu komen lanjut lagi, sama-sama kita tengok persaingan di kerusi DUN ini ada berapa penjuru pada hari penamaan calon nanti," katanya.

Pada Rabu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon Perpaduan bagi PRK DUN KKB.

Sock Tao, 31, anak kelahiran Ampang, Selangor itu pernah menggalas jawatan sebagai Pegawai Tugas-Tugas khas kepada bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam, Yeo Bee Yin pada 2018 selama 22 bulan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, calon tersebut dipilih kerana mampu menarik lebih ramai pengundi muda di kawasan itu.

PRK DUN KKB diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu dari DAP, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian, 7 Mei hari pengundian awal dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!