Negara perlu beri pengajaran tegas, haramkan Bruce Gilley
SHAH ALAM - Malaysia perlu memberi mesej dan pengajaran tegas dengan mengharamkan pensyarah warganegara Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley dari memasuki negara pada masa hadapan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu bertujuan bagi menunjukkan negara dan rakyat tidak mudah dipermainkan dan diperkotak-katikkan dengan dakwaan ahli akademi berkenaan.
“Wisma Putra wajar menggesa kedutaan AS tampil memberi penjelasan dan memohon maaf kepada rakyat serta kerajaan Malaysia di atas ciapan profesor yang berwarganegara AS di platform X.
“Insiden di Universiti Malaya (UM) yang menjemput Profesor Pro-Zionis, Bruce Gilley adalah amat memalukan dan tidak sepatut berlaku,” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, UM mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.
Bruce dikatakan mendakwa menuduh ahli politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, ujar Dr Muhamad Akmal, pihak universiti juga wajib memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu kontroversi berkenaan dan bagaimana individu seperti Bruce dibenarkan memberi syarahan.
“Pihak universiti wajib memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa begitu culas sehingga individu seperti ini terlepas dan dibenarkan memberi syarahan.
“Sepatutnya UM harus lebih teliti mengenal pasti latar belakang individu yang dijemput. Insiden ini telah mencemarkan nama baik UM sebagai gedung ilmu tersohor tanah air dan mencalarkan imej Malaysia dalam posisi negara terhadap Israel serta pembelaan Palestin.
“Satu penjelasan yang tuntas harus diberikan oleh pihak UM kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya juga menggesa supaya individu ini diharamkan dari masuk ke Malaysia,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!