Indonesia hantar Korea Selatan pulang dari Qatar 2024

Ernando Ari
Ernando Ari
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) Indonesia mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 2024 selepas menyingkirkan pasukan pilihan Korea Selatan pada Jumaat.

Penjaga gol Garuda Muda, Ernando Ari muncul wira pasukan Asia Tenggara itu selepas menafikan dua sepakan penalti bagi mengakhiri cabaran Young Taegeuk Warriors, 11-10 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi suku akhir 120 minit.

Perlawanan di Stadium Abdullah Bin Khalifa itu, Rafael William Struick yang beraksi dengan kelab liga Belanda, ADO Den Haag terlebih dulu meletakkan Garuda Muda di depan hasil percubaan pada minit ke-15 menewaskan Baek Jong-beom.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Young Taegeuk Warriors asuhan Hwang Sun-hong kemudian menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri Komang Teguh pada minit ke-45.

Struick kemudian sekali lagi tampil dengan karakter luar biasa apabila sekali lagi menewaskan Jong-beom pada masa kecederaan minit ke-48 baik selepas menyudahkan sentuhan rakan sepasukan untuk memimpin separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Sun-hong meningkatkan intensiti permainan bagi memburu jaringan penyamaan manakala Tae-yong melakukan perubahan taktikal apabila memperkemas bahagian pertahanan.

Korea Selatan akhirnya terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Lee Young-Jun dilayangkan kad merah setelah mengasari Justin Hubner pada minit ke-70.

Biarpun begitu kekurangan seorang pemain tidak melunturkan semangat juang Young Taegeuk Warriors, yang berjaya mengikat perlawanan menerusi keberhasilan penyudah Jeong Sang-bin pada minit ke-84.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu menyaksikan Indonesia ke separuh akhir akan menentang pemenang perlawanan Uzbekistan berdepan Arab Saudi.

Dalam satu lagi aksi suku akhir sebelum itu, Jepun memanfaatkan sepenuhnya ketiadaan Yousef Abdulrahman Baliadeh yang dilayangkan kad merah pada minit ke-41 bagi menyingkirkan cabaran tuan rumah Qatar dalam perlawanan di Stadium Jassim Bin Hamad.

Skuad Samurai Biru Muda kendalian Go Oiwa menyingkirkan anak buah asuhan Ilidio Vale, 4-2 hasil jaringan Fuki Yamada (m-2), Seiji Kimura (m-67), Mao Hosoya (m-101), Kotaro Uchino (m-112) manakala gol Qatar dijelmakan Ahmed Hisham Ali Musa Al-Rawi (m-24), Jassem Gaber Abdulsallam (m-49).

Jepun akan menanti pemenang perlawanan Iraq menentang Vietnam dalam satu lagi aksi suku akhir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!