Kedai serbaneka 'tutup bila kiamat, tapi masih buka setengah hari'
JAKARTA - Sebuah kedai serbaneka 24 jam telah tular di media sosial seluruh Indonesia apabila mempamerkan papan iklan bertulis 'Madura Mart, Tutup Bila Sudah Kiamat, Tetapi Masih Dibuka Setengah hari'.
Kedai yang terletak di wilayah Pamulang, Tangerang Selatan dikatakan sudah beroperasi sejak tahun 2020 dan turut menjual makanan ringan serta beberapa barangan keperluan lain.
Pemilik Madura Mart, Husein Jafar Hadar atau Habib Jafar berkata, papan iklan yang ditulisnya itu sebenarnya memberi maksud bahawa kedainya sentiasa dibuka selama 24 jam dan tidak akan ditutup sekiranya tiada berlaku hal kecemasan.
"Ya ia akan dibuka 24 jam dan apabila kiamat berlaku ia turut dibuka setengah hari. Mana tahu masih ada orang masih kelaparan," kata Husein sambil ketawa.
Bagaimanapun, selepas papan tanda itu viral, ramai netizen memberikan komen lucu dan ada pula menyifatkan kedai ini mampu bersaing dengan kedai lain.
"Pemilik kedai ini mampu berfikir di luar kotak. Dia bijak menarik pelanggan datang ke kedainya," kata netizen - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!