SMK Saujana Utama lokasi pertama Jelajah TV PSS
SUNGAI BULOH - Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari bagi tahun 2024 meneruskan misi jajahannya ke seluruh negara bermula Rabu dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Selangor sebagai lokasi pertama.
Program anjuran bersama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu mendapat kerjasama penuh Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut Pegawai Eksekutif BSTP KPM, Muhammad Iman Ruzain Azhar, program TV PSS ini merupakan salah satu inisiatif yang berkesan dalam menggalakkan kemahiran dan kreativiti pelajar-pelajar sekolah menerusi pembelajaran adab ke-21.
Beliau berkata, ia membantu pelajar melalui elemen kreatif dan kritis, komunikasi dan kolaborasi berkesan, penggunaan teknologi dan media, serta pembelajaran yang berterusan.
“Justeru, pada zaman revolusi industri hari ini, program TV PSS sememangnya membantu pelajar agar lebih bersedia mengharungi pendidikan masa kini serta persediaan menempuh alam pekerjaan pada masa akan datang.
“Malah, elemen kewartawanan yang diterapkan melalui program tersebut juga dapat dijadikan sebagai nilai tambah dalam pembelajaran pelajar di samping memberi keyakinan diri untuk bertutur apabila di soal atau ditemu duga di hadapan kamera atau secara spontan,” katanya kepada Sinar Bestari.
Jelajah TV PSS edisi Selangor kali ini turut melibatkan 20 sekolah kebangsaan dan menengah yang mengikuti sesi perkongsian selama hampir separuh hari.
Dalam pada itu, Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta TV PSS SMK Dusun Nanding, Royati Abdul Saha berkata, program ini dapat membantu dalam usaha membentuk kemenjadian murid serta mengasah bakat mereka.
“Saya lihat ia dapat memberi idea baharu kepada murid untuk mencungkil bakat mereka dalam bidang kewartawanan dan suntingan video.
“Malah ia juga dapat dijadikan sebagai satu alternatif kepada mereka dengan menjadikan bidang kewartawanan ini sebagai salah satu kerjaya masa depan,” katanya.
Bagi GPM dan TV PSS SK Taman Kosas, Rabiatuladawiyah Mohd Ali Hanifiah pula, program ini bukan sahaja membantu murid tetapi para guru juga kerana dapat memberi pendedahan ilmu di luar bilik darjah.
“Kami sebagai GPM ini hanya boleh mengajar di peringkat sekolah sahaja tetapi dengan adanya program Jelajah TV PSS dapat membantu murid memahami teknik-teknik dengan lebih mendalam,” ujarnya.
Jelajah TV PSS Sinar Bestari akan meneruskan misi jajahannya di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 30 April 2024.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!