Trend kenaikan harga emas di Malaysia mungkin berkekalan
TREND kenaikan harga emas di Malaysia mungkin akan berterusan, didorong oleh gabungan pelbagai faktor ekonomi global dan gelagat pelabur.
Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor berkata, pasaran emas sentiasa menjadi pengukur kepada sentimen ekonomi global, mencerminkan keyakinan dan ketidaktentuan.
Sejak kebelakangan ini, pasaran mengalami turun naik yang ketara berikutan gabungan ketegangan geopolitik, penunjuk ekonomi dan gelagat pelabur.
"Di Malaysia, faktor seperti prestasi ringgit, perubahan dalam dasar kerajaan seperti (cadangan) pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi serta landskap ekonomi yang lebih luas akan terus mempengaruhi harga emas,” katanya kepada Bernama.
Lonjakan harga emas dikompaun oleh kelemahan ringgit Malaysia berbanding dolar AS, ini telah mengukuhkan peningkatan momentum dalam harga emas.
Beliau berpendapat harga emas lazimnya berkembang dalam persekitaran yang ditandai dengan kadar faedah yang rendah, tekanan inflasi atau kebimbangan terhadap penurunan nilai mata wang kerana logam berharga itu berfungsi sebagai pelindung nilai terhadap penyusutan nilai mata wang.
Pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang agak mendatar termasuk dasar monetari akomodatif boleh menambah lagi tarikan emas sebagai penyimpan nilai alternatif, katanya.
Sejak dua bulan lepas, harga emas secara relatifnya kekal stabil disebabkan oleh dua faktor iaitu jangkaan inflasi serta ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan konflik Rusia-Ukraine.
Namun katanya, selain daripada kebimbangan geopolitik, peniaga juga dirangsang oleh petunjuk positif seperti pertumbuhan keluaran dalam negara kasar China, yang telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
"Peranan besar China dalam pembelian emas bermakna pemulihan dalam pertumbuhan ekonominya boleh mencetuskan permintaan kukuh untuk emas.
"Beberapa perkembangan penting juga berlaku, terutamanya daripada gergasi Wall Street. Citibank, misalnya, telah mengunjurkan bahawa berdasarkan momentum semasa, harga emas boleh melonjak kepada AS$3,000 satu auns,” katanya. (AS$1=RM4.76)
Mohd Faizal juga melihat walaupun indeks dolar US serta hasil Perbendaharaan AS yang kekal mantap, beberapa faktor lain turut menyumbang kepada trend kenaikan harga emas yang berterusan.
Prestasi pasaran perumahan AS, data indeks harga pengguna dan jangkaan kemungkinan penurunan kadar faedah pada Jun ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong trajektori kenaikan harga logam itu, katanya.
"Saya percaya pasaran akan memantau rapat sama ada ketegangan (yang semakin memuncak ) antara Iran dan Israel baru-baru ini telah mencapai tahap tertinggi atau wujud kemungkinan ia merebak lebih jauh.
"Sekiranya ketegangan terus memanas dengan ketara, ia mungkin mengakibatkan peningkatan minat pelabur terhadap aset selamat seperti emas dalam usaha mereka bagi melindungi pelaburan daripada ketidaktentuan yang berlaku," katanya lagi.
Selain itu, beliau menekankan bahawa sentimen takut tercicir dalam mengambil peluang kenaikan tersebut juga memainkan peranan penting dalam momentum harga emas,
"Ketika nilai emas melonjak, individu yang sebelum ini teragak-agak untuk melabur kini mungkin berasa terdorong mengambil bahagian bagi memperoleh keuntungan.
"Penambahan dalam angka pelabur baharu yang ingin membeli emas turut menyokong permintaan keseluruhan untuk emas.
"Oleh itu, harga terus menaik dalam kitaran berterusan apabila setiap cetusan harga terus menarik lebih ramai pelabur, sekali gus memacu peningkatan harga,” tambahnya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!