Khianat dalam Perang Uhud, Abdullah bin Ubay duri dalam daging
MENYOROTI Syawal pastinya kita akan bertemu dengan pelbagai sirah dan peristiwa yang terjadi pada bulan ke-10 dalam kalendar Islam ini.
Peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini termasuklah beberapa sejarah perang umat Islam melawan kaum Musyrikin yang dipimpin Rasulullah SAW.
Antara peperangan yang dihadapi umat Islam ketika itu adalah Perang Uhud, Perang Khandak, Perang Hunain dan Perang Taif.
Sinar Islam Plus sempat menemu bual pendakwah, Ustaz Mohd Taufik Yaakob untuk menggali sirah berkenaan dan mengeluarkan intipati dan iktibar daripada Perang Uhud.
Sebagai pembuka kalam, beliau memberitahu, Perang Uhud merupakan perang kedua yang berlaku selepas peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Kota Madinah.
“Para sejarawan sepakat mengatakan ia berlaku pada bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah, kira-kira setahun selepas berlakunya Perang Badar,” katanya.
Menurutnya, setelah mengalami kekalahan dalam Perang Badar, kaum Musyrikin Makkah ingin menuntut bela dan menebus kekalahan mereka.
“Menurut sejarawan Muslim, Ali Muhammad As-Sallabi yang berasal dari Libya, tercetusnya Perang Uhud disebabkan beberapa faktor termasuk agama, ekonomi dan politik.
“Bilangan tentera Islam yang bersama Rasulullah SAW ketika itu pada awalnya berjumlah 1,000 orang termasuk 100 orang yang memakai baju besi namun tidak dilengkapi dengan kuda,” ujarnya.
Untuk menjayakan misi mereka dalam Perang Uhud, Musyrikin Makkah berhasil mengumpulkan 3,000 tentera yang terdiri daripada kaum Quraisy dan puak-puak yang setia kepada mereka seperti Bani Kinanah dan penduduk Tuhamah.
“Mereka mempunyai 200 orang tentera berkuda dan 700 orang tentera yang berbaju besi yang dipimpin Khalid Al-Walid (sebelum masuk Islam) sebagai komander bagi sayap kanan manakala Ikrimah bin Abu Jahal di sayap kiri.
Pengkhianatan Abdullah bin Ubay
Menyelusuri sirah berkenaan, berlaku suatu cerita yang tidak terduga oleh tentera Islam ketika itu.
Ketika di pertengahan jalan berhampiran dengan medan perang, Abdullah bin Ubay mula melakukan khianat kepada Rasulullah SAW dengan menarik keluar seramai 300 orang tentera.
Menurut Mohd Taufik, antara alasan penentangan yang dikemukakan Abdullah bin Ubay ialah Rasulullah SAW tidak berpegang kepada pendapatnya sendiri bahkan mengikut kehendak orang lain dalam membuat keputusan.
“Dia mula mempertikaikan tujuan mereka menyertai peperangan dan dalam masa yang sama, mempertikaikan kepimpinan Rasulullah SAW.
“Bagaimanapun, perkara itu bukanlah alasan yang sebenarnya. Andai kata kalau benarlah dia tidak bersetuju dengan perkara tersebut, sudah pasti dia tidak akan menyertai peperangan lebih awal,” jelasnya.
Malah katanya, tujuan sebenar dia berbuat demikian adalah untuk memporak-perandakan tentera Islam serta menimbulkan suasana kacau-bilau yang boleh menjatuhkan moral dan semangat tentera Islam dan mengharapkan mereka berpaling daripada Nabi.
“Dengan cara itu, dia berharap dapat menghancurkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang ikhlas, sekali gus jawatan ketua akan dimiliki olehnya.
“Kesan daripada perbuatannya itu, menyebabkan dua kumpulan daripada tentera Islam mula merasa lemah semangat dan putus asa iaitu Bani Harithah daripada kabilah Al-Aws dan Bani Salamah daripada kabilah Al-Khazraj.
“Namun, ALLAH SWT membantu mengembalikan semangat mereka dan menetapkan pendirian mereka seperti yang disebut dalam ayat ke-122 Surah Ali Imran,” katanya.
Iktibar Perang Uhud
1 - Jauhi sikap tamak yang membawa kerugian dalam kehidupan.
Sikap mementingkan ghanimah (harta rampasan perang) menjadi sebab tentera Islam meninggalkan tempat kawalan sehingga mereka mengalami kekalahan.
2 - Sentiasa mentaati arahan pemimpin apabila dibuat secara mesyuarat.
3 - Sentiasa bersabar dalam menghadapi karenah manusia. Melalui medan Uhud, tentera Islam diuji dengan pengkhianatan golongan munafik dan kejahatan kaum Yahudi.
4 - Kesatuan memainkan peranan besar dalam usaha mencapai kejayaan. Dalam Perang Badar, umat Islam mencipta kejayaan kerana mereka mempunyai kesatuan matlamat dam tekad, namun medan Uhud menyaksikan perkara sebaliknya.
5 - Kecederaaan yang menimpa Rasulullah SAW juga memberi suatu gambaran bahawa dalam mempertahankan kebenaran, kita pasti akan diuji dengan pelbagai ujian.
6 - Perang Uhud juga mengajar kepada kita untuk sentiasa melakukan persediaan yang betul dalam menghadapi sesuatu perkara.
Nasihat dan pengajaran daripada Perang Uhud
1 - Rakus terhadap harta benda akan mendorong seseorang kepada kegagalan dan kekalahan, sebagaimana terjadi pada Perang Uhud ketika pasukan pemanah meninggalkan tempat mereka kerana ingin memperoleh harta rampasan perang di depan mata.
Disebabkan sebahagian daripada mereka rakus terhadap harta rampasan dan meninggalkan tugas, musuh berbalik menyerang dan mengalahkan kaum Muslimin.
2 - Sekiranya Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin yang jujur setia menyertai Baginda tidak kuat, nescaya setelah itu kekalahan tidak berpindah kepada kemenangan yang nyata.
Sikap rakus terhadap kekayaan telah merosakkan dakwah dan mempengaruhi jiwa.
Sesunguhnya yang demikian itu akan membawa manusia kepada keraguan dalam dakwah serta menimbulkan tuduhan bahawa dalam dakwahnya dia tidak bertujuan mengharapkan keredaan ALLAH SWT, tetapi mengumpulkan harta benda atas nama agama dan demi kemajuan.
Keyakinan seperti ini telah menyimpang daripada agama ALLAH dan menimbulkan dampak buruk bagi setiap orang yang menyeru kepada kebaikan atas dasar kejujuran dan keikhlasan.
*Sumber: Al-Quran Al-Karim Amazing terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!