Lelaki parah kereta terbabas langgar pokok
MANJUNG - Seorang lelaki mengalami kecederaan parah setelah kereta yang dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Ayer Tawar- Ipoh, Batu 19, di sini, malam Khamis.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.03 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar kemudiannya digerakkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Kia Spectra yang terbabas di tepi jalan dan melanggar pokok.
"Terdapat seorang mangsa lelaki telah tersepit di dalam kereta. Anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Sabarodzi, mangsa berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan muka.
Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!