Kes kemalangan warga PDRM meningkat 14 peratus

Kes kemalangan membabitkan warga polis tahun lalu meningkat sebanyak 14 peratus berbanding pada 2022. Gambar hiasan, Rusdi (kiri).
Kes kemalangan membabitkan warga polis tahun lalu meningkat sebanyak 14 peratus berbanding pada 2022. Gambar hiasan, Rusdi (kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes kemalangan membabitkan warga polis tahun lalu meningkat sebanyak 14 peratus berbanding pada 2022.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, statistik tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 56 kes kemalangan membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 456 kemalangan berbanding pada 2022 dengan 400 kes.

Menurutnya, kes kemalangan maut semasa dalam tugas pada tahun lalu adalah 25 kes manakala 31 kes bagi tahun sebelumnya.

“Sekali lagi saya nasihatkan kepada semua warga Polis Kuala Lumpur khususnya untuk sentiasa peka dan utamakan keselamatan dalam menjalankan tugas di lapangan.

“Kalau penat, rehat dan tidur secukupnya. Jika tidak sihat, dapatkan rawatan. Ini kerana apabila berlaku kejadian tidak diingini (kemalangan), ada anak kecil ditinggalkan," katanya kepada pemberita selepas selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Tambah Rusdi, dua hari lalu, turut berlaku kemalangan maut membabitkan anggota yang dalam perjalanan ke Semenyih selepas menghadiri latihan menembak.

Dalam isu berlainan, kata Rusdi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur telah merampas pelbagai jenis dadah sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini dengan jumlah sebanyak RM10.1 juta berbanding tahun 2023 bagi tempoh yang sama iaitu sebanyak RM39.7 Juta.

Katanya, statistik perbandingan tangkapan bagi Januari hingga Mac tahun ini dan tempoh yang sama bagi tahun lepas menunjukkan peningkatan.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 5,977 orang ditahan pada tahun ini berbanding 3,576 orang pada tahun 2023," ujarnya.

Mengulas mengenai kes jenayah komersial, beliau berkata, perkembangan dunia masa kini yang menjadikan platform dalam talian bagi tujuan penipuan telah menyumbangkan kepada peningkatan kadar kes di Kuala Lumpur ini.

"Tahun ini setakat Mac Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur telah melakukan sebanyak 996 serbuan.

“Bagi jenayah pusat panggilan, JSJK telah berjaya membuka sebanyak 16 kertas siasatan membabitkan tangkapan seramai 180 orang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!